AKSEM bawah PDRM lebih berkesan kekang pendatang: PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah menempatkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengekang pencerobohan pendatang asing ke negara ini dengan lebih berkesan, terutama ketika penularan pandemik COVID-19.

Katanya, tindakan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula dan memperkuat kawalan sempadan negara secara holistik, bagi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat terpelihara.

“Bagi membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan, kerajaan baru-baru ini bersetuju untuk meletakkan AKSEM di bawah tanggungjawab PDRM.

“Menerusi Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah yang lain,” katanya dalam perutusan sempena Hari Polis ke-214, hari ini.

Perdana Menteri berkata, turut mengucapkan tahniah kepada PDRM bersama agensi dan jabatan kerajaan lain kerana melindungi sempadan negara melalui beberapa operasi yang berterusan seperti Op Pasir dan Op Benteng.

Beliau berkata, walaupun hampir semua tenaga kerja pasukan polis telah dikerahkan untuk operasi COVID-19, PDRM masih berjaya menyeimbangkan keutamaan memerangi jenayah serta menjaga keamanan di kalangan masyarakat dan negara.

“Mereka adalah antara barisan hadapan yang telah bekerja keras untuk membendung penyebaran COVID-19” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM30 juta untuk pembelian kamera yang digunakan di badan untuk penggunaan anggota PDRM, bagi melindungi mereka daripada fitnah dan penjenayah.

Beliau percaya bahawa penggunaan alat berteknologi tinggi dan canggih akan meningkatkan semangat dan keyakinan anggota PDRM yang bertugas.

 

 

POPULAR