Akibat pandemik Covid-19, 55 hotel terpaksa ditutup

Sebanyak 55 hotel ditutup sepenuhnya manakala 86 hotel ditutup sementara dari Mac 2020 hingga kini akibat pandemik Covid-19, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata hotel-hotel itu adalah hotel yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan diiktiraf oleh MOTAC.

Beliau berkata berikutan penutupan sepenuhnya dan sementara hotel-hotel terlibat, dianggarkan lebih 8,000 pekerja sektor perhotelan dibuang kerja.

“Bagi menghidupkan semula aktiviti pelancongan dan kelangsungan pekerjaan sektor ini, pelbagai bantuan telah disediakan secara langsung menerusi pakej rangsangan ekonomi antaranya Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) contohnya bantuan kewangan secara one-off (sekali beri) kepada penggiat industri.

“Bantuan-bantuan lain seperti pelanjutan diskaun bil elektrik kepada penggiat industri, pengusaha hotel, pengendali taman tema dan sebagainya sehingga 31 Dis ini, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan serta penangguhan pembayaran ansuran cukai dan skim subsidi upah,” katanya di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Jefridin Atan berhubung jumlah hotel di negara ini yang terpaksa menutup operasi atau gulung tikar akibat pandemik Covid-19 dan bantuan yang diberikan MOTAC kepada pengusaha-pengusaha terlibat.

Dalam pada itu, Santhara berkata sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi tujuan penyelenggaraan kemudahan atau infrastruktur pelancongan dengan 89 projek sedang dilaksanakan di bawah peruntukan itu di seluruh negara sehingga kini.

Selain itu, beliau berkata melalui Belanjawan 2021, MOTAC juga diperuntukkan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya di empat negeri iaitu Terengganu, Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

“Secara umumnya, MOTAC sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah baik. Ini bagi membolehkannya menjadi tarikan kepada pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk setempat.

“Projek penyelenggaraan dan naik taraf juga telah dilaksanakan di kawasan tumpuan utama dan popular bagi memastikan ketersediaan infrastruktur pelancongan di tahap yang optimum serta selamat dikunjung menjelang pembukaan sektor pelancongan kelak,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR