
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seorang pengurus AmBank (M) Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Datuk Seri Najib Razak menerima AS$61 juta dan 9.46 juta pound Britian dalam akaun peribadinya pada 2013 dn 2014 melalui transaksi luar negara daripada syarikat dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Saksi pendakwaan Wedani Senen memberi keterangan dana itu dipindahkan ke akaun AmIslamic Bank yang mempunyai nombor yang berakhir dengan nombor 694 (nama kod “AmPrivate Banking – MR”) dan akaun berakhir 880 (nama kod “AmPrivate Banking – 1MY”) di mana kedua-dua akaun itu milik bekas Perdana Menteri itu.
Wedani, membaca kenyataan saksinya dalam perbicaraan Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Memetik The Star saksi itu yang juga Pengurus Unit Bahagian Pemindahan Dana dan Sistem Sekuriti Elektronik Masa Nyata (Rentas) di AmBank memberitahu mahkamah bahawa transaksi AS$61 juta itu datang daripada Tanore Finance Corp ke dalam akaun berakhir 694 Najib pada 25 Mac 2013.
Tanore ialah sebuah syarikat yang dilaporkan dikaitkan dengan Eric Tan, sekutu rapat Jho Low.
Sementara itu, akaun yang berakhir 880 yang lain menerima 750,000 pound Britain daripada Blackrock Commodities (Global) Ltd pada 23 Jun 2014.
Akaun yang sama juga menerima 5,750,000 pound (19 Oktober 2014); 694,343.62 pound dan 2,216.01 pound (24 November 2014); 995,000 pound (5 Disember 2014) dan 1,264,462.29 pound (18 Disember 2014) dalam lima transaksi daripada Vista Equity International Partners.
Dilaporkan bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengenal pasti dua entiti itu – Blackrock Commodities dan Vista Equity – sebagai dimiliki oleh Tan.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, Wedani berkata beliau tidak membuat sebarang laporan kepada Bank Negara Malaysia berhubung transaksi besar ke dalam kedua-dua akaun itu.
“Kami mempunyai unit yang membuat semua laporan kepada Bank Negara,” kata saksi itu, yang kini pengurus unit bahagian Swift AmBank.
Wan Aizuddin: Tetapi dari unit anda, tidak ada keraguan (terhadap urus niaga) yang boleh menjamin laporan kepada Bank Negara?
Wedani: Tidak.
Peguam itu kemudiannya menegaskan bahawa AS$61 juta masuk ke dalam akaun seseorang adalah satu transaksi yang besar.
Wan Aizuddin: Bank Negara tidak pernah menaikkan bendera merah dan meminta penjelasan apabila transaksi besar ini dibuat?
Wedani: Saya tidak pasti.
Wan Aizuddin: Adakah anda dihubungi pihak atasan mengenai perkara ini?
Wedani: Tidak.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung esok.