
Tular gambar pembersihan hutan di Kemensah.
Keadaan air yang keruh di sepanjang sungai Kemensah dan Taman Melawati bukan disebabkan terdapat aktiviti pembalakkan di dalam hutan lipur berdekatan kawasan tersebut, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, tular gambar berlaku pembersihan di atas hutan Kemensah dan penduduk mengeluh berhubung keadaan air keruh di sungai yang dibimbangi berlaku aktiviti pembalakkan di atas bukit Kemensah, namun Amirudin menjelaskan tiada aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.
“Ini bukan pembalakkan, tapi tebang dan tinggal oleh Tenaga Nasional Berhadi (TNB) bagi tujuan rentis elektrik bagi pastikan tenaga cukup bagi keperluan Lembah Klang,” katanya membalas hantaran Twitter kepada Agenda Daily.
Amirudin juga berkata kerajaan Selangor sudah melaksanakan moratorium pembalakkan sejak 2005 dan gambar yang tular tersebut bukanlah akibat aktiviti pembalakkan.
“Selangor laksana moratorium pembalakkan sejak 2005. Kalau saudara buat sedikit kajian pembalakan tidak akan buat pemotongan seperti gambar-gambar itu,” katanya lagi.
Terdahulu, Agenda Daily mendedahkan gambar yang dihantar berhubung kawasan hutan yang dibersihkan di atas Bukit Repin, Kemensah. Beberapa laporan penduduk memberitahu tidak terdapat papan tanda projek TNB diletak di kawasan tersebut.
Kemensah dan Taman Melawati merupakan kawasan bersebelahan hutan simpan dan berbukit bukau.
Terdapat penduduk di sini menggunakan bekalan air daripada mata air bukit dan hulu sungai.
Kemensah juga merupakan lokasi terletaknya Permatang Kuartza Genting Klang, sebuah daik kuartza yang melalui sepanjang kawasan timur laut Kuala Lumpur dalam kawasan Bukit Lagong-Kanching-Klang Gates. Berukuran lebih 16 km panjang dan 200m lebar, ia adalah yang terpanjang seumpamanya di dunia.
Pentadbiran Amirudin sebelum ini dibidas berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah juga kerap berlaku di Kemensah, terbaharu pada September lalu kejadian tanah runtuh berlaku di Kemensah Heights.