Air mata Siti Sarah sebelum hembus nafas terakhir

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.13 pagi tadi, air mata Siti Sarah Raissuddin, 36, dilihat mengalir di pipinya walaupun dia ketika itu tidak sedarkan diri.

Kejadian itu diceritakan suaminya yang juga pelawak popular, Shuib Sepahtu, 37, yang sempat membuat panggilan video buat kali terakhir ketika Siti Sarah sedang nazak di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM).

Shuib berkata, dia dan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, dapat melihat air mata berjuraian di pipi arwah ketika mereka membuat panggilan video, seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya. Saya sempat ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi.

“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah,” katanya memetik laporan BH Online.

Shuib berkata, dia reda atas pemergian arwah isterinya tetapi berdepan cabaran untuk memaklumkan kepada tiga cahaya mata mengenai ketiadaan ibu mereka.

Terdahulu penyanyi lagu Semakin itu ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang Jumaat lalu.

Pada Jumaat lalu, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif Covid-19. Selain Siti Sarah dan suami, Shuib serta tiga cahaya mata, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Katanya, jenazah arwah isterinya akan ditayammum dan disolatkan di hospital berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

“Jenazah arwah akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Pusu, Gombak, jam 12 tengah hari ini. Arwah memang minta dikebumikan di sebelah kubur arwah ibunya.

“Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” katanya.

Agenda Daily turut merakamkan ucapan takziah kepada Shuib Sepahtu serta keluarga beliau. Al-Fatihah.

BERITA BERKAIT
POPULAR