Aidilfitri: Warga emas berisiko dinasihat ambil penggalak kedua

Warga emas serta remaja yang berisiko tinggi dan individu yang ingin ke luar negara dinasihatkan mendapatkan suntikan dos penggalak kedua.

Pada masa sama individu berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi juga digalakkan berbuat demikian menjelang sambutan Aidilfitri awal Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata matlamat pemberian dos penggalak kedua adalah untuk memastikan tahap perlindungan optimum kepada warga emas dan individu berisiko tinggi yang merupakan kumpulan paling berisiko.

“Kami menyambut baik perkembangan ini. Semasa kita memasuki fasa peralihan ke endemik, ia sangat penting untuk kita terus melindungi populasi paling berisiko dan ini adalah salah satu usaha tersebut.

“Kami juga menerima banyak pertanyaan dan permintaan daripada orang awam mengenai dos penggalak kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ProtectHealth, melalui pengamal perubatan swasta (PMP) dan organisasi penjagaan kesihatan bukan kerajaan, akan terus membantu dan bekerjasama dengan KKM untuk memaksimumkan dan mempercepat pelaksanaan dos penggalak kedua, selain menggalakkan PMP mengambil bahagian dalam program tersebut.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang berusia 60 tahun ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi, kini diberi peluang untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin Covid-19 dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama.

Selain itu, remaja berumur 12 tahun dan ke atas dengan sistem pertahanan badan yang lemah, juga diberi pilihan untuk mendapatkan dos penggalak dengan selang masa sekurang-kurangnya 28 hari selepas tarikh dos kedua.

Katanya, kajian menunjukkan individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi seperti penyakit paru-paru, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, penyakit hati dan diabetes berisiko lebih tinggi untuk mendapat gejala serius dan kematian dalam Covid-19.

“Oleh itu, individu berusia 60 tahun dan ke atas dengan komorbiditi berisiko tinggi boleh diberikan dos penggalak kedua dengan selang masa sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan selepas tarikh dos penggalak pertama,” kata Khairy.

BERITA BERKAIT
POPULAR