Sambut raya korban jangan kita pula terkorban: KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai, terutama umat Islam supaya mengambil iktibar daripada kluster komuniti yang tercetus pada musim perayaan Aidilfitri Mei lalu, bagi menyambut Aidiladha 20 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 267 kluster komuniti dengan jumlah jangkitan sebanyak 17,106 kes Covid-19 dilaporkan ketika bermulanya ‘total lockdown’ pada 1 Jun 2021 hingga Jumaat 16 Julai 2021.

“Kes-kes tersebut dikesan daripada sejumlah 72,755 individu yang disaring membabitkan kadar positiviti 23.5 peratus, melalui Active Case Detection (ACD) yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) secara berterusan.

“Daripada jumlah 17,106 kes tersebut, 105 kematian telah dilaporkan sehingga kini dan 42 kes sedang mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua kluster komuniti itu tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu iaitu Aidilfitri dan Hari Gawai, aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian.

“Beberapa kluster komuniti ini turut membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan yang disebutkan di atas,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menzahirkan kebimbangan berkaitan 21 kluster yang didapati tercetus akibat aktiviti merentas negeri.

Katanya, dalam tempoh 1 Jun sehingga 16 Julai sahaja, sebanyak 1,010 kes positif Covid-19 dilaporkan dalam 21 kluster ini, iaitu daripada 5,681 individu yang disaring.

“Kluster-kluster ini didapati melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

“Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster atau 38.1 peratus, Terengganu lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan tiga (3) kluster (14.3 peratus),” katanya.

Justeru, katanya, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai 2021.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuatkuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan. Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Covid-19,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR