Ahmad Maslan tarik diri calon Timbalan Speaker, intai GLC pula

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan penarikan dirinya sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan perkara itu sudah dipersetujui pucuk pimpinan.

Ahli Parlimen (MP) Pontian itu memberi alasan sekiranya dilantik menjadi Timbalan Speaker tidak akan dapat bercakap banyak kerana sudah menjadi kegemarannya untuk banyak bercakap di Dewan Rakyat bagi bertanyakan soalan.

“Kemudian kerana ada kawan-kawab sebut bila jadi Timbalan Speaker, saya tidak boleh bercakap lagi di Dewan Rakyat, saya antara yang suka bagi cadangan. Saya suka bangun dan bercakap, bertanya dan mencelah. Kalau jadi Timbalan Speaker nak cakap apa? Bangun duduk?

“Jadi fungsi aktif itu tidak dapat diteruskan,” katanya menjelaskan penarikan pencalonan tersebut.

Beliau juga mahu memberi fokus kepada kerja-kerja melibatkan parti memandangkan keadaan politik negara yang masih tidak menentu ketika ini.

“Sebab saya ingin tumpukan perhatian gerak kerja sebagai Setiausaha Agung UMNO yang perlukan banyak masa, lebih-lebih lagi suasana mencabar yang kita tahu politik saat dan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berkemungkinan akan diberi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun tidak menjadi Timbalan Speaker.

Terdahulu, Agenda Daily juga melaporkan UMNO akan menggugurkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker selepas gagal mendapat sokongan daripada Perikatan Nasional (PN).

Ketika ini, satu jawatan Timbalan Speaker masih kosong susulan peletakan jawatan MP Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Ogos lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR