
Kes jenayah.
Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penagihan dan pengedaran dadah maut, dipercayai dibunuh dalam pergaduhan di antara ahli sindiket sama, sebelum ditemui di bawah sebuah pangsapuri di Jalan Masai Jaya 2, di Johor Bahru, semalam.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang rakan mereka.
Semua suspek berusia 20 hingga 33 tahun itu ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam Ahad.
Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata dalam kejadian pada jam 12.45 tengah malam di sebuah rumah di aras dua pangsapuri itu, mangsa berusia 23 tahun ditemukan maut di aras bawah bangunan dipercayai selepas jatuh daripada balkoni.
Menurutnya, pergaduhan dipercayai berlaku disebabkan perbalahan berkaitan dadah antara mangsa dan tiga lelaki tempatan, yang juga ahli sindiket yang berusia 20 hingga 30 tahun itu yang membawa kepada kematian.
“Polis menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan terdapat seorang lelaki (mangsa) jatuh daripada aras dua balkoni dan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mereka ini rakan sindiket penagihan dan pengedaran dadah dan mungkin salah seorang tidak bayar hutang dadah syabu dan bergaduh,” katanya lapor media tempatan.
Beliau berkata siasatan unit forensik mendapati terdapat kesan pergelutan serta unsur jenayah, yang menyebabkan mangsa jatuh daripada balkoni itu dan pemeriksaan ke atas badan mangsa turut mempunyai kesan kecederaan dan pendarahan di bahagian belakang kepala.
Kamarul Zaman berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada mangsa ditolak daripada balkoni terbabit.
Menurutnya, semakan rekod ke atas ketiga-tiga individu terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.