Ahli perniagaan dan politik disiasat langgar SOP majlis

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara di sebuah majlis pelancaran produk melibatkan ahli perniagaan dan ahli politik semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata ia susulan satu laporan polis yang dibuat semalam berikutan penularan gambar tetamu di majlis berkenaan yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.

“Pihak polis telah mengenal pasti penganjur majlis berkenaan serta para tetamu yang hadir di majlis itu dan mereka akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini lapor Bernama.

Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan penganjur dan syarikat yang mengadakan sebarang majlis untuk memastikan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19.

Semalam tular di media sosial beberapa gambar ahli perniagaan terkenal dan ahli politik yang tidak menjaga penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka di sebuah majlis pelancaran produk.

BERITA BERKAIT
POPULAR