
Surat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Setiausaha Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta perbicaraan kes Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diutamakan, dilaporkan bocor di media sosial.
Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menggesa siasatan rapi dan tindakan diambil susulan dokumen daripada Jabatan Peguam Negara kepada hakim perbicaraan, dibocorkan dalam laman sosial.
Menurutnya perbuatan membocorkan dokumen itu adalah satu perbuatan jenayah dan siasatan perlu dijalankan bagi mencari individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.
Beliau turut mengingatkan kakitangan jabatan berkenaan supaya bertanggungjawab dan bersikap amanah dalam melaksanakan tugas masing-masing.
“Bocor pula dokumen yang kononnya mengarahkan kes-kes tertentu dipercepatkan. Tidaklah dapat dipastikan betul atau tidak, tetapi ia bukanlah yang pertama. Sebelum ini penghakiman yang dikatakan ‘draf awal’ pun boleh bocor.
“Apa dah jadi ni? Mereka yang bertanggungjawab di jabatan berkenaan tolonglah bersikap amanah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini (30 Ogos 2022).
Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional dan PAS berkata jika dokumen yang dibocorkan itu adalah sah, maka perbuatan itu adalah satu jenayah.
“Apa yang dibocorkan jika benar ia dokumen yang sah ialah satu jenayah. Jika tidak benar, pihak ketiga yang susah payah mewujudkan draf palsu itu juga tetap dikira melakukan jenayah.
“Siasatan perlu dilakukan, sudah tentu forensik teknologi maklumat jika dilakukan dengan betul akan dijumpai siapa yang bertanggungjawab,” katanya lagi.
Bagaimanapun, dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata pasukannya telah “diarahkan untuk menarik balik surat yang kami hantar semalam, jadi tidak ada lagi permohonan sedemikian”.
Sebelum ini, tular satu surat yang didakwa dihantar pihak pendakwaan kepada hakim meminta perbicaraan dihadapi Zahid diberi keutamaan berbanding kes 1MDB yang juga dikendalikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Dalam surat yang dihantar Abdul Malik kepada Setiausaha Hakim berkenaan pihak pendakwaan meminta kes Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.
Menurut surat yang ditandatangi Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, beliau meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera.