Agong, Permaisuri tunai solat hajat buat rakyat Palestin

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat di Istana Negara hari ini bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.

Memetik laporan Bernama, Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Surau Utama Istana Negara pada jam 7.30 malam, diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Solat sunat hajat itu dipimpin oleh Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas Istana Negara.

Solat sunat berkenaan, selepas solat Maghrib berjemaah, dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuklah penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan masjid dan surau seluruh negara, serta rakyat di kediaman sendiri, untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengaminkan doa bagi keselamatan rakyat Palestin selepas solat sunat hajat di Istana Negara, malam tadi. – Gambar Istana Negara

BERITA BERKAIT
POPULAR