Agong harap kemelut politik berakhir lepas perkenan Ismail Sabri PM ke-9

August 20, 2021 · Isu semasa

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan agar kemelut politik negara berakhir dengan segera susulan pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Pada masa sama baginda turut berharap semua Ahli Dewan Rakyat mengetepikan agenda politik sebaliknya bersatu hati dan bersepakat dalam usaha menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong juga mengulangi pendapat bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara sedang bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong juga menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera.

Terdahulu baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Pada sesi Perbincangan Khas yang berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2.30 petang, baginda berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana semua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration).

Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu baginda membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-Ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata susulan itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini,” katanya.

Berita berkaitan
Sultan Ibrahim utamakan 33 juta rakyat Malaysia, bukan wakil rakyat
November 22, 2023· Isu semasa
Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan 30 Jan, zahir penghargaan
October 26, 2023· Isu semasa
Jelaskan larangan guna kalimah Allah kepada ketua agama lain: Mufti
June 7, 2023· Isu semasa
Kalimah Allah: Agong titah kerajaan harmonikan keadaan
June 5, 2023· Isu semasa
Popular
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
LCS: Anwar cakap tak serupa bikin
May 29, 2023
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024
Banjir kilat di beberapa kawasan di Balik Pulau
July 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok