AG beri penjelasan kes terhadap Serba Dinamik tidak diteruskan

May 14, 2022 · Isu semasa

Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapati prosiding jenayah terhadap syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB), dua pengarah serta dua pegawai kanannya tidak sesuai atau wajar diteruskan kerana kesan ekonomi yang akan berlaku.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini memaklumkan SDHB kini berdepan prosiding penggulungan oleh pemiutang yang akan menjejaskan mata pencarian pekerjanya, kepentingan pemegang saham dan pemiutang lain, lapor Bernama.

Beliau berkata selain itu, impak pertuduhan terhadap SDHB adalah tidak seimbang dengan tahap kesalahan teruk yang dikatakan dilakukan oleh syarikat tersebut.

“AGC mendapati bahawa keputusan mengkompaun kesalahan SDHB adalah merupakan satu bentuk hukuman yang memadai untuk kesalahan yang dikatakan telah berlaku setelah mengambil kira hal keadaan kes ini.

“Tindakan ini akan membolehkan SDHB memberi fokus bagi memperbetul kesilapan dan melaksanakan tindakan segera untuk mematuhi peraturan Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang sebelum ini SDHB pernah dan jelas patuhi tanpa kesilapan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan SDHB, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal serta Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan Muhammad Hafiz Othman daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad selepas masing-masing membayar kompaun.

Idrus berkata mereka membayar kompaun itu yang berjumlah RM16 juta pada 9 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan mengkompaun kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB dan eksekutifnya adalah keputusan yang sesuai dan wajar mengikut hal keadaan kes ini.

Justeru, katanya pada 7 April lepas, AGC telah memberikan izin kepada SC untuk mengkompaun SDHB bagi kesalahan itu mengikut Seksyen 373 Akta 671.

Selain itu, Idrus berkata AGC mengambil kira keterangan menyokong pertuduhan terbabit dan bagi mengelakkan perbicaraan yang lama dan berlarutan, ia berpandangan bahawa kepentingan awam adalah lebih terjamin dengan mengkompaun kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh SDHB serta empat eksekutifnya.

“Dengan mengkompaun kesalahan-kesalahan tersebut, tindakan punitif terhadap SDHB dapat dicapai dengan serta-merta tanpa melalui proses perbicaraan yang lama.

“Selepas itu, SDHB boleh mengalihkan sumber dan masa yang ada untuk menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.

Idrus juga berkata pada 21 Mac lepas, AGC menerima satu representasi bertarikh 17 Mac 2022 daripada SDHB yang memohon antara lain agar AGC mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap syarikat itu dan empat eksekutifnya.

“SDHB mengemukakan cadangan agar kesalahan oleh SDHB dan eksekutif-eksekutifnya dikompaun. Surat SDHB tersebut telah dipanjangkan kepada SC untuk perhatian segera. Selepas itu, AGC telah berbincang dengan pegawai penyiasat SC berkenaan surat representasi SDHB.

“Representasi tersebut turut dibincangkan dengan pengerusi SC oleh Peguam Negara. Kemudian atas permintaan AGC, pihak SC telah mengemukakan kertas siasatan kepada AGC,” katanya.

Beliau berkata setelah meneliti kertas siasatan dan surat representasi SDHB, AGC bersetuju dengan cadangan untuk mengkompaun kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh SDHB dan empat eksekutifnya.

“Ia memandangkan, antara lain, keterangan sedia ada terhadap syarikat itu adalah bersifat mengikut keadaan dan kebergantungan kepada Seksyen 367(1) Akta 671. Tambahan pula, SDHB dan empat eksekutifnya bersedia menerima jumlah kompaun maksimum yang boleh dikenakan oleh SC,” katanya.

Berita berkaitan
Anak Kedah kecewa PM Anwar seakannya sekat kemajuan negeri Kedah
March 8, 2023· Rencana
Mat Maslan yakin negara tak alami kegawatan ekonomi tahun ini
March 6, 2023· Isu semasa
Lantikan semula AG: Saya tidak terbabit langsung kata Azalina
March 4, 2023· Isu semasa
Cabaran ekonomi 2023: Bantu wanita tingkatkan taraf hidup
February 14, 2023· Isu semasa
Popular
Lawatan Anwar ke Arab Saudi tak dilayan seperti ketua negara?
March 26, 2023
Selepas tak dapat jumpa Putera Mahkota, PMX lawat Kemboja esok
March 26, 2023
Pelajar 14 tahun untung berniaga, bayar zakat RM10,000 kepada MAIK
March 26, 2023
PMX pulang ke tanah air dari Arab Saudi, tak dapat jumpa Putera Mahkota
March 25, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Ayam cukup bekalan sehingga Aidilfitri, kata Menteri
9 jam lalu · Isu semasa
Selepas tak dapat jumpa Putera Mahkota, PMX lawat Kemboja esok
9 jam lalu · Isu semasa
Tiada masalah nak bina kuil, ikut syarat, jaga sensitiviti umat Islam
14 jam lalu · Isu semasa
Pelajar 14 tahun untung berniaga, bayar zakat RM10,000 kepada MAIK
15 jam lalu · Isu semasa
Banjir: Semua PPS di Johor ditutup
17 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Laporan polis dakwa Anwar bohong untuk lindungi Guan Eng, aniayai Muhyiddin
March 24, 2023
[VIDEO] Laporan polis premis mahu anjur pesta kepondanan, LGBT
March 22, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok