AEON minta maaf selepas viral halau orang ramai berteduh semasa banjir

Susulan sebuah video viral orang ramai dihalau semasa berteduh di premis AEON Shah Alam baru-baru ini kerana bencana banjir, pihak syarikat itu memohon maaf secara terbuka kepada orang ramai.

AEON Co (M) Bhd (AEON) dalam satu kenyataan membuat permohonan maaf terbuka kerana tindakan menghalau tersebut kerana terlepas pandangan situasi banjir yang sedang melanda negeri itu baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pada hari kejadian, pihaknya tidak menyedari situasi sebenar kawasan di sekitarnya dilanda banjir.

Menurutnya, setelah menerima banyak pertanyaan, pihaknya membuat keputusan untuk membenarkan pelanggan, kakitangan dan orang ramai yang terkesan dengan banjir untuk berlindung dalam premisnya.

“Operasi harian kami berakhir pada 10 malam, namun ketika itu, tiada siapa menyedari banjir telah melanda kawasan terbabit.

“Setelah mendapat tahu perkara sebenar, dengan serta-merta kakitangan kami memberitahu pelanggan, kakitangan dan penyewa berlindung dalam premis sementara menunggu keadaan pulih,” katanya dalam kenyataan.

AEON berkata, mereka mengambil maklum dan sedar akan kelemahan itu serta menjadikannya iktibar dan pengajaran.

“Kami sedar tidak semudah itu untuk memuaskan hati semua pihak, apatah lagi dengan bilangan yang besar dalam keadaan kami yang tidak bersedia. Namun begitu, kami akan cuba pertingkatkan keupayaan kakitangan kami.”

Katanya, kakitangan AEON masih tidak mempunyai kemahiran atau pengalaman mengendalikan operasi sedemikian dan pihaknya akan berusaha memberi bantuan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, AEON Shah Alam menyantuni 570 pelanggan yang terkandas disebabkan banjir kilat di Shah Alam pada Sabtu lalu.

“Dalam keadaan tidak bersedia serta kekangan tenaga kerja, kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keselesaan mereka,” katanya sambil memaklumkan terdapat 173 kakitangan dan 255 penyewa terkandas pada hari kejadian.

BERITA BERKAIT
POPULAR