ADUN Tronoh dakwa wujud muslihat politik berhubung pertuduhan rogol

Pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia didakwa mempunyai muslihat politik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Choo Kiong semasa sesi sesi pemeriksaan utama oleh peguambelanya, Datuk Rajpal Singh memberitahu di hadapan Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata muslihat itu dirancang pihak tertentu kerana mahu mengganggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Perak yang memiliki majoriti tipis selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ujarnya, jika dua ADUN PH disingkir atau dijatuhkan, kerajaan negeri PH ketika itu akan jatuh.

“Ada juga ura-ura yang mengatakan terdapat usul tidak percaya kepada Menteri Besar akan diadakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selain saya akan diganti atau disingkirkan.

“Selepas kejadian, ada seorang lagi Exco yang dituduh terlibat dalam kes rasuah. Ini adalah jelas menunjukkan ada pihak yang cuba menjatuhkan kami dalam kerajaan pada masa itu. Tarikh kejadian iaitu 7 Julai 2019 juga adalah terlalu dekat dengan majlis angkat sumpah penggal kedua Exco dan saya merupakan Exco pada ketika itu.

“Saya rasa ada pihak yang amat iri hati dan cemburu terhadap porfolio yang dipegang iaitu kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan awam dan hal ehwal bukan Islam dan kampung baharu,” katanya.

Hari ini berlangsung prosiding pertama bela diri melibatkan tertuduh.

Choo Kiong yang memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi juga memberitahu mahkamah, beliau percaya mempunyai musuh politik kerana sentiasa berasa diekori oleh kenderaan tidak dikenali setiap kali ke pejabatnya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri atau pulang ke rumah.

Sementara itu semasa disoal balas Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi sama ada dia ada membuat laporan polis kerana diekori, Choo Kiong memberitahu tiada laporan polis dibuat berkaitan dakwaan tersebut.

Malah Choo Kiong menolak cadangan Azlina bahawa dakwaan dia diekori adalah ilusinya semata-mata. ADUN Tronoh itu juga memberitahu dia tidak pernah menerima ugutan secara serius melainkan hanya surat layang yang diakuinya perkara biasa sebagai ahli politik.

Sementara itu, saksi pembelaan kedua, Too Choon Looi, 46, yang juga isteri Choo Kiong tidak bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan bahawa suaminya telah merogol pembantu rumah berkenaan.

Choon Looi berkata, adalah tidak munasabah untuk suaminya melakukan perbuatan rogol itu kerana pada malam kejadian, dia berada di rumah dan hanya keluar sekitar 10 minit sahaja.

Perbicaraan disambung 31 Mac ini.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019. Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

BERITA BERKAIT
POPULAR