
Kerajaan Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang lebih RM50 juta dalam caj air mentah tahunan selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperoleh bekalan air dari Sungai Muda, yang mengalir dari Kedah.
Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH-AMANAH) menyuarakan sokongannya kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah yang menuntut bayaran daripada Pulau Pinang bagi mendapatkan air mentah dari Sungai Muda yang mengalir dari negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata tuntutan itu munasabah memandangkan Kedah terpaksa menanggung kos penyelenggaraan sungai.
“Adalah munasabah untuk Pulau Pinang membayar fi kepada Kedah. Kita perlu memelihara hutan (kawasan tadahan hujan) dan sungai perlu dijaga, jadi kita (Kedah) menanggung semua kos ini.
“Tetapi saya sedar tiada peruntukan dari segi undang-undang untuk mengambil tindakan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih titah ucapan diraja Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada sidang DUN Kedah di Alor Setar, hari ini (14 Mac 2023).
Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai status panel peguam yang dilantik kerajaan negeri tahun lepas untuk menangani tuntutan itu.
Phahrolrazi berkata bayaran air mentah yang dituntut daripada Pulau Pinang adalah wajar kerana rakyat Kedah perlu membayar bil air mereka untuk menikmati bekalan yang diperoleh dari Sungai Muda.
“Orang Kedah kena bayar caj air kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA)… tetapi tiba-tiba orang lain ambil air tanpa bayaran, jadi apa jadi dengan panel undang-undang?” soal beliau.
Kerajaan negeri sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang lebih RM50 juta dalam caj air mentah tahunan selepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperoleh bekalan air dari Sungai Muda, yang mengalir dari Kedah.
Pulau Pinang, bagaimanapun, tidak melayan dakwaan itu, dengan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa penggunaan air oleh Pulau Pinang adalah dari sungai yang berada di sebelah sempadan negeri, selaras dengan undang-undang dan hak antarabangsa.