ADUN DAP Selangor rentas negeri pertahan isu kebun durian haram di Raub

Tangkap layar video, ADUN DAP dari Selangor, Ronnie Liu berada di perkarangan mahkamah di Raub.

Beberapa pemimpin DAP di Pahang dan Selangor turun membela 18 pekebun durian musang king yang didakwa mengusahakan tanaman secara haram di Hutan Simpan Kerajaan Negeri Pahang di Raub.

Lebih menghairankan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Selangor, Ronnie Liu turut hadir di perkarangan Mahkamah Majistret Raub semasa 18 pekebun tersebut dibawa untuk direman hari ini.

Tidak pasti tujuan ADUN Sungai Pelek itu hadir ke perkarangan mahkamah tersebut ketika sekatan rentas negeri sedang dilaksanakan, bagaimanapun dalam satu video yang tular beliau didapati bertegang urat dengan pihak berkuasa yang sedang bertugas semasa pekebun tersebut sedang dibawa turun daripada trak polis.

Turut kelihatan dalam video tersebut Ahli Parlimen DAP Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang cuba menenangkan Liu daripada meneruskan provokasi.

Kesemua pekebun tersebut ditahan pada Ahad selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Tahanan terbabit dibawa menaiki trak polis tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 11 pagi dan suasana agak kecoh dengan provokasi dilemparkan oleh beberapa individu terhadap pihak berkuasa, ia termasuk Liu dan beberapa individu tidak dikenali.

Sebelum itu, ADUN DAP Tras, Chow Yu Hui juga ditahan tetapi dilepaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 12 tengah malam.

Terdahulu, tular video yang mendakwa beberapa pekebun menengking penguat kuasa menjalankan operasi memusnahkan tanaman di Hutan Simpan Kerajaan Negeri Pahang di Raub.

POPULAR