Adik Najib dedah wang 1MDB mungkin diseleweng kepada Tun M

November 9, 2021 · Isu semasa

Datuk Seri Nazir Razak mengakui beliau antara yang bertemu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berbincang dan menceritakan kebimbangannya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Adik kepada Datuk Seri Najib Razak itu di dalam bukunya ‘What’s in the Name’ mendedahkan pertemuan yang turut disertai pemilik The Edge Group, Datuk Tong Kooi Ong di London, sekitar 2015.

“Mengapa saya juga perlu melakukan sesuatu? Saya sudah bersara.” Kata-kata itu keluar dari mulut Dr Mahathir, kata Nazir dalam buku berkenaan yang dilancarkan semalam.

Dalam memoir buku berkenaan beliau mendedahkan, pertemuan itu bukan sesuatu yang mudah untuk beliau dan Tong, tetapi ia harus dilakukan demi mencari kebenaran tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik Astro Awani, Nazir berkata beliau dan Tong mempunyai sejarah yang agak traumatik dan tegang dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Well Sir, you have to do something because you made him the Prime Minister (Tun, anda perlu melakukan sesuatu kerana anda yang menjadikan beliau (Najib) sebagai Perdana Menteri,” kata Nazir, mengimbas kembali pertemuan itu.

Pengasas firma Ikhlas Capital itu berkata demikian dalam memoirnya bertajuk ‘What’s in a Name’ dalam bab bertajuk ‘Eh, We Have a Problem’ yang memperincikan keraguan beliau terhadap penubuhan 1MDB serta hubung kait dana itu dengan Najib.

Biografi setebal 358 muka surat itu memperincikan pengalaman Nazir dalam membangunkan CIMB sebagai institusi berperanan membawa ASEAN keluar dari Asian Financial Crisis.

Selain itu, terdapat juga bab-bab di mana Nazir berusaha menjunjung legasi ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak serta perkongsian tentang penubuhan 1MDB, yang akhirnya menyebabkan kejatuhan abangnya serta Barisan Nasional (BN).

Mengimbas kembali pertemuan itu, Nazir memulakan sesi itu dengan menyuarakan kebimbangan kepada Dr Mahathir bahawa beliau dan Tong percaya berbillion-bilion dolar telah diseleweng dari 1MDB.

“Tong sebenarnya yang banyak mendedahkan tentang apa yang kami ketahui berkaitan 1MDB. Dr Mahathir kelihatan mudah memahami situasi itu yang mana ia memeranjatkan mereka, selepas mengambil kira perincian dan penerangan Tong.

“Saya syak Dr Mahathir sebenarnya telah pun diberi taklimat mengenai 1MDB dan menggunakan pertemuan itu sebagai perbandingan terhadap apa yang beliau ketahui dan fahami,” katanya lagi.

Nazir berkata, semakin sesi perbincangan itu berlangsung semakin Dr Mahathir menunjukkan reaksi atau erti kata lainnya, kemarahan.

Sebagai rekod, Nazir berkata, hubungan antara keluarganya dengan Dr Mahathir telah berdekad lamanya di mana ayahandanya, Abdul Razak telah menyelamatkan karier politik Dr Mahathir dengan membawa kembali beliau ke dalam UMNO.

Malah, kata Nazir lagi, Najib sendiri memainkan peranan besar untuk memastikan Dr Mahathir kekal berkuasa apabila memberi sokongan ketika pemilihan Presiden UMNO antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987.

“Mahathir, sebagai balasan, telah membuka ruang kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri, apabila beliau mendesak Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri pada 2003.

“Kempen Mahathir terhadap kepimpinan lemah Abdullah telah membuka ruang kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri. Dan Mahathir secara terbuka menyokong kepimpinan Najib pada pilihan raya umum 2013,” kata Nazir.

Nazir berkata, beliau dan Tong meninggalkan Rumah York itu tanpa mengetahui apa yang bakal terjadi.

Biarpun Dr Mahathir masih berpengaruh, tetapi tiada organisasi di sebalik pemimpin itu dan Nazir merasakan, apa sangat yang boleh dilakukan oleh individu berusia hampir 90 tahun.

“Tanpa disangka-sangka, selepas pertemuan di London, Mahathir telah mulakan ‘peperangan’,” katanya lagi.

Nazir turut mendedahkan, ia tidak mengambil masa yang lama sebelum Najib menghubungi dirinya dan bertanya motif sebenar beliau dan Tong berjumpa dengan Dr Mahathir di London.

“Saya tertanya-tanya, sama ada saya diekori, atau telefon saya dipasang peranti. Saya tidak sembunyikan topik perbincangan saya kerana tiada gunanya.

“Najib memberi amaran kepada saya untuk berhati-hati dengan motif Dr Mahathir. Selepas saya mendapat panggilan itu, saya menyedari perbuatan dan tingkah laku saya diperhatikan oleh abang saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Nazir berkata, pasukan petugas khas pelbagai agensi mula menjejaki aliran wang dalam akaun berkaitan 1MDB dan akhirnya laporan itu menjadi penerangan paling komprehensif, tentang dana berbillion yang diraih 1MDB dari pasaran bon.

Beliau berkata, seseorang dalam pasukan itu, barangkali memutuskan cara terbaik untuk maklumat itu sampai ke pengetahuan awam ialah dengan membocorkan perinciannya kepada Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report.

Antara laporan yang diterbitkan, imbas Nazir lagi – ‘Investigators believe money flowed to Malaysian leader Najib’s accounts amid 1MDB Probe’ oleh WSJ.

“Pada satu pagi di Los Angeles, saya sedang bercuti bersama-sama keluarga saya. Saya mengambil senaskhah WSJ dan mata saya tertumpu ke arah kunci kata ‘Malaysia’, ‘Najib’ dan ‘1MDB’. Saya hampir terjatuh dari kerusi saya.

“Saya telah menjejaki 1MDB hampir enam tahun lamanya tetapi pada peringkat itu, saya masih terkejut dengan apa yang saya baca,” katanya lagi.

Artikel WSJ itu, imbas Nazir lagi, menjadi antara artikel yang paling mendapat perhatian dunia, dengan lebih suku juta pelawat unik.

Susulan artikel itu, Nazir berkata, ia telah mengakibat lebih banyak pendedahan dan artikel susulan yang turut diterbitkan WSJ.

“Dr Mahathir mendesak Najib untuk letak jawatan segera. Najib kemudian menggunakan Facebooknya, memberi amaran kesemua itu adalah plot pihak tertentu untuk menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi,” kata Nazir lagi.

Episod itu, kata Nazir, akhirnya menghantui beliau secara peribadi, memandangkan ia mempunyai hubung kait dengan darah dagingnya sendiri.

Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Tun Razak berkenaan 1MDB dalam memoirnya What’s in a Name yang dilancarkan semalam (8 November).

Susulan beberapa pendedahan berkaitan penyelewengan dana 1MDB yang turut melibatkan beberapa skandal kewangan yang lain, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau kemudian mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu.

Najib juga sedang berdepan dengan pelbagai tuduhan pecah amanah dan penyelewengan lain dalam kes 1MDB serta wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Berita berkaitan
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Perbicaraan 1MDB: Saksi beritahu perbincangan atas kapal tiada wakil pegawai kerajaan
January 5, 2024· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
1MDB: SPRM tak teruskan permohonan dapatkan dokumen dari peguam
December 5, 2023· Isu semasa
Popular
SPRM masih cari jutaan ringgit kes pembantu menteri DAP: Laporan
April 18, 2023
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Awesome TV digantung penyiaran bermula 2 November
October 19, 2023
Imej negara tercalar akibat rasuah dan penyelewengan, kata PM duduk disebelah Zahid
February 24, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok