Adham Baba dedah negara sedang hadapi krisis kesihatan dahsyat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mendedahkan negara kini sedang berdepan krisis kesihatan dahsyat susulan peningkatan kes positif Covid-19 di kalangan kakitangan perubatan.

Beliau berkata, keadaan itu sekali gus boleh ‘melumpuhkan’ golongan petugas kesihatan untuk membantu dalam penjagaan dan rawatan pesakit jika semakin ramai mereka dijangkiti Covid-19 hanya kerana mereka menjalankan tugas dalam berjuang melawan wabak itu.

Jumlah petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan apabila naik mendadak kepada 2,328 orang pada Januari, menjadikan keseluruhannya 6,620 positif sejak Mac tahun lalu.

Daripada jumlah itu, petugas kesihatan di Selangor mencatat bilangan tertinggi 1,545 kes, diikuti Sabah (1,479); Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing (760); Sarawak (584); Johor (531); Kelantan (307); Perak (289); dan Terengganu (287).

Negeri Sembilan pula merekodkan 274 kes; Kedah (182); Melaka (143); Pulau Pinang (134); Pahang (73); Labuan (19); dan Perlis (13), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Memetik laporan Utusan Malaysia hari ini, Dr Adham berkata jumlah petugas kesihatan dijangkiti mula meningkat mendadak selepas September tahun lalu, ketika bermula gelombang ketiga pandemik.

“Angka tertinggi dicatatkan pada Januari lalu dengan merekodkan sebanyak 2,328 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 dan seramai 1,150 pula dikesan pada Februari, manakala 864 lagi pada Disember tahun lalu.

“Semua 6,620 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 itu adalah dalam kalangan petugas di bawah Kementerian Kesihatan manakala kes-kes membabitkan institusi kesihatan swasta merekodkan seramai 1,092 kes selain mereka dalam perkhidmatan sokongan KKM (75 kes) dan pelatih kementerian itu (14 kes) sekali gus meliputi jumlah keseluruhan 7,801 kes,” katanya.

Beliau berkata, seramai 868 petugas kesihatan pula terpaksa menjalani kuarantin atau perintah pengawasan di rumah (HSO) dalam tempoh sepanjang tahun ini sahaja.

Dalam pada itu, Adham berkata, pihaknya merekodkan seramai 180 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas tempoh 14 hari menerima dos kedua vaksin Covid-19.

“Kita sentiasa mengingatkan semua petugas kesihatan tidak mengabaikan langkah penjagaan diri semasa bertugas dan merawat pesakit seperti wajib memakai pelitup muka semasa mengendalikan mana-mana pesakit dan semasa berada dalam persekitaran tempat kerja termasuk pantri dan bilik rehat.

“Saya menyeru rakyat Malaysia terus mematuhi SOP. Keluar rumah apabila perlu sahaja dan elakkan pergi ke kawasan yang sesak dan sempit. Kita semua bertanggungjawab berjuang memutuskan rantaian jangkitan virus ini,” katanya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR