
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan berhubung pertemuan Jabatan Peguam Negara dengan wakil ahli perniagaan dalam buruan Jho Low, baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta menjelaskan sama ada beliau membenarkan Peguam Negara (AG) Tan Sri Idrus Harun mengadakan perbincangan antara Jabatan Peguam Negara (AGC) serta agensi kerajaan lain, dengan peguam mewakili Low Taek Jho.
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng ingin tahu sama ada keputusan untuk bertemu dengan wakil ahli perniagaan dalam buruan itu yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dibuat atas inisiatif Idrus sendiri atau tidak, memandangkan banyak kementerian yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak menyedari pertemuan itu.
“Jika Ismail tidak mengetahui perkara itu, bolehkah Idrus bertindak secara bebas dalam perkara dasar yang begitu penting? Jika Ismail sedar dan membenarkan Idrus mengadakan pertemuan dengan wakil Jho Low, maka adakah Ismail mempunyai kuasa untuk berbuat demikian tanpa kelulusan Kabinet?
“Ismail mesti berterus-terang mengenai kecelaruan ini bagi mengelakkan spekulasi liar yang hanya akan menjejaskan tindakan berterusan bukan sahaja terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam skandal 1MDB tetapi juga pemulihan aset kewangannya,” katanya menurut laporan MalayMail.
Guan Eng berkata Idrus jelas tidak layak untuk menjadi AG jika tidak mendedahkan maklumat lanjut pertemuan itu, dan sebaliknya memilih untuk membatalkan perjanjian dengan Jho Low.
“Daripada cuba menangkap Jho Low kerana dia terikat secara undang-undang dan dikehendaki berbuat demikian, Idrus telah memilih untuk membenarkan AGC bertemu wakil Jho Low.
“Membatalkan perjanjian dengan Jho Low tidak ada bezanya dengan memaafkan dan membebaskan Jho Low daripada jenayah dan peranannya yang merosakkan sebagai salah seorang dalang utama skandal kewangan 1MDB bernilai RM52 bilion, yang terbesar dalam sejarah global.
“Malaysia bukan sahaja akan menjadi objek memalukan, tetapi penjenayah yang terlibat dalam mencuri wang secara rasuah boleh terlepas daripada hukuman hanya dengan mengembalikan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh secara haram,” kata Guan Eng.
Menurut pertubuhan antirasuah Transparency International, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah turun daripada 57 tahun lalu kepada 62 tahun ini.
Semalam, Guan Eng dan Pengerusi Biro Perundangan Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh mempersoalkan hubungan istimewa bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang menjadi ‘broker’ antara AGC dan wakil Jho Low.
Apandi sebelum ini mengakui menjadi wakil perantara bagi Jho Low dengan kerajaan Malaysia dalam penyelesaian RM1.5 bilion bagi menutup pertuduhan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagaimanapun Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam juga mengesahkan sudah menolak tawaran tersebut.
Guan Eng mendesak supaya Apandi mendedahkan hubungan istimewanya dengan Jho Low sehingga sanggup menjadi wakil perantara kepada ahli perniagaan dikehendaki itu.
“Adakah Mohamad Apandi Ali menjelaskan hubungannya dengan Jho Low selain menerangakan faedah yang diterima daripada hubungannya dengan Jho Low itu,” katanya.
Apa hubungan istimewa Apandi dengan Jho Low? soal DAP kepada bekas AG