Ada sesuatu yang ‘pelik’ dalam projek kapal tempur TLDM, kata AJK PAC

August 9, 2022 · Isu semasa

Seorang Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan kegagalan menyiapkan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai pengkhianatan terhadap negara dan amanah rakyat.

Sehubungan itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman yang juga Ahli Parlimen Sik menggesa supaya kes berkenaan dibawa segera ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kedaulatan dan sistem pertahanan negara.

Menurutnya beliau telah melihat laporan PAC berkaitan projek LCS yang dibangunkan syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan dibentangkan kepada Parlimen pada 4 Ogos lalu.

“Selaku ahli jawatankuasa PAC, saya menegaskan supaya kes ini perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera kerana kumpulan atau individu yang mengkhianati amanat rakyat Malaysia ini telah menjadi musuh negara dan sedang menceroboh kedaulatan Malaysia dengan kelicikan untuk mengagalkan sistem peralatan pertahanan negara.

“Kita sedia maklum negara kita menghadapi ancaman dari pihak luar, lanun dan penceroboh di Laut China Selatan saban waktu.

“Tugas TLDM sangat mencabar, sangat besar dan penting demi memastikan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat di negara ini terjamin, bahkan memastikan industri perdagangan import dan eksport di kawasan maritim dan perkembangan ekonomi negara terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Tarmizi berkata kelewatan perolehan Kapal tempur ini memberi kesan buruk terhadap aktiviti ekonomi bagi tempoh masa yang panjang termasuk menjejaskan pengurusan aset pertahanan strategik negara, dan meletakkan keselamatan rakyat di ambang bahaya.

“Kegagalan proses detailed design dengan BNS sehingga sekarang, pertukaran reka bentuk yang sangat tergesa-gesa, pelik dan tidak mengendahkan permintaan TLDM sendiri serta proses pembayaran oleh pihak yang diberi tanggungjawab ketika itu kepada BNS harus disiasat dengan lebih mendalam dan terperinci.

“Terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan. Pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

“Ini adalah luar biasa, pelik dan ini menyebabkan bayaran kemajuan LCS1 melebihi kemajuan kerja sebenar sebanyak 21.1 peratus (bayaran sebanyak 63.8 peratus berbanding kemajuan kerja sebenar sebanyak 42.7 peratus); proses ini telah menceroboh tatacara kewangan yang betul dan telus,” katanya lagi.

Lebih malang katanya walaupun pembayaran telah dibuat melebihi jumlah sepatutnya namun proses pembinaan kapal LCS masih gagal disiapkan seperti yang dijadualkan dalam kontrak.

“Sedih dan geram. Kita kehilangan wang negara dan kapal tempur pertahanan negara entah di mana? Kecuaian, kebocoran besar ini perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pecah amanah bagi setiap pembayaran sebanyak RM6.083 bilion.

“Pengkhianatan ini adalah suatu jenayah yang sangat berbahaya kepada negara kerana jelas bahawa peralatan pertahanan merupakan aset strategik berkepentingan bagi menjamin urusan pentadbiran negara berjalan lancar, tanpa sebarang ancaman dari dalam dan luar.

Sehubungan itu, Ahmad Tarmizi sekali lagi mendesak mendesak agar kumpulan atau individu pengkhianat negara yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang sewajarnya, tanpa mengira pangkat dan darjat supaya perkara ini tidak berulang.

Terdahulu, ketika menjawab kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata jawatankuasa itu tidak akan membenar istilah “keselamatan negara” diguna sewenang-wenangnya semata-mata untuk menyekat rakyat mengetahui maklumat sebenar bagaimana kerajaan membelanjakan wang mereka.

Menurutnya perbincangan rakyat berkaitan isu perolehan LCS bernilai lebih RM9 bilion, menunjukkan rakyat mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam projek itu.

Sebelum ini, Zahid menyuarakan kebimbangan bahawa penjelasan mengenai isu keselamatan yang berkait dengan kontroversi LCS, berisiko mendedahkan rahsia keselamatan negara.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika tender projek LCS itu mula diberikan berpendapat isu berkait LCS perlu diperjelaskan kepada awam, namun kerajaan perlu melaksanakannya secara berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan ‘mahkamah netizen’.

Untuk rekod, perolehan LCS itu telah diluluskan oleh Putrajaya pada awal 2011 berikutan permintaan yang dibuat oleh TLDM. Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion telah diberikan kepada BNS.

Kontrak itu berkuat kuasa pada 3 Oktober 2013, dan akan tamat pada 2 Oktober tahun depan, diberikan ketika Barisdan Nasional (BN) dan UMNO mentadbir negara.

Lima daripada enam kapal itu sepatutnya diserahkan bulan ini, kata PAC pada Khamis, 4 Ogos lalu. LCS adalah kapal yang lebih kecil yang umumnya direka untuk operasi berhampiran pantai.

Tetapi, tiada satu pun daripada enam kapal yang ditempah TLDM telah dihantar oleh kontraktor tempatan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang telah dianugerahkan projek itu pada 2013 tanpa tender terbuka.

Berita berkaitan
Heitech Padu dapat kontrak RM66.84 juta daripada Kementerian Pertahanan
September 10, 2022· Isu semasa
Surat tuntutan daripada peguam Latiff dihantar kepada juruaudit projek LCS
September 9, 2022· Isu semasa
SPRM masih siasat dakwaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dalam skandal LCS
September 9, 2022· Isu semasa
Telefon Rafizi dirampas semasa memberi keterangan polis
September 3, 2022· Isu semasa
Popular
Menteri PAS, Bersatu utus surat kepada Agong maklum tak setuju PRU semasa banjir
October 6, 2022
Anak Najib terlepas kes tak bayar cukai RM10.3 juta, LHDN tarik balik rayuan
October 5, 2022
81% pencarum KWSP Bumiputera miliki kurang RM1,000: Laporan
October 1, 2022
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
October 5, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Satu lagi PPS dibuka di kawasan Parlimen Mat Maslan, mangsa naik 29 orang orang
17 minit lalu · Isu semasa
Menteri PAS, Bersatu utus surat kepada Agong maklum tak setuju PRU semasa banjir
28 minit lalu · Isu semasa
Mat Kilau, Paskal ditayang di Gaza
12 jam lalu · Isu semasa
PH terbit bajet bayangan 2023
13 jam lalu · Isu semasa
Tiada tunai dikeluarkan dari akaun Najib: Saksi beritahu mahkamah
16 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Perkukuh ukhwah, tolak usaha pecah belahkan PN
15 minit lalu
[VIDEO] Pemasangan lokar di 626 sekolah selesai Oktober
13 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok