
Tidak ada sebab dinyatakan mengapa perenggan tertentu dalam laporan siasatan berhubung projek kapal tempur pesisir pantai, dipadamkan.
Beberapa perenggan dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dipadam.
Pemadaman perenggan 2.39.1; 2.39.2; dan 2.39.4 dalam Jadual 9; 10; 11; dan 10, laporan berkenaan dibuat setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC).
Makluman mengenai pemadaman itu dibuat dalam surat kepada Sekretariat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bertarikh hari ini, yang ditandatangani Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehhuddin Alyubi Zakaria.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sebab beberapa perenggan berkenaan dipadam.
Surat itu didedahkan kepada umum oleh Pengerusi PAC Wong Kah Woh dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Menurut Wong, PAC telah dimaklumkan bahawa Laporan JKSTUPKK telah dinyahklasifikasikan dan jawatankuasa itu telah menerima salinan dokumen berkenaan.
“Ini adalah lanjutan daripada syor PAC pada 4 Ogos lalu dan keputusan Kabinet pada 10 Ogos.
“PAC akan muatnaikkan laporan ini ke laman sesawang PAC untuk rujukan semua,” katanya.
Semalam, Senator Lim Hui Ying membentangkan usul supaya Dewan Negara membahaskan laporan PAC berhubung perolehan LCS, yang mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa dalam keseluruhan projek itu.
Seramai 10 ahli Dewan Negara membahaskan usul itu termasuk Senator Datuk Razali Idris dan Senator Muhammad Zahid Md Arip yang menggesa kerajaan antara lain mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat projek LCS.
Mereka antara lain melahirkan kebimbangan mendalam sekiranya sesuatu isu sebesar ini tidak disiasat, ia akan mencemarkan nama dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai panglima tertinggi Angkatan Tentera Malaysia.
Mereka juga percaya bahawa RCI boleh memberikan ketelusan kepada penyiasatan projek itu, serta memberi keyakinan kepada rakyat.
Skandal terbaharu yang menggegarkan negara setelah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), meletus susulan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu.
Dalam pendedahan itu PAC berkata kerajaan BN/UMNO telah memberikan lebih RM6 bilion wang rakyat kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk projek pembinaan enam kapal LCS, yang keseluruhannya bernilai lebih RM9 bilion.
Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata BNS telah membelanjakan semua RM6 bilion yang diberikan kerajaan untuk pembinaan enam kapal LCS itu.
Untuk rekod, kontrak pembekalan enam kapal LCS itu diberikan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan sebelum digantikan Hishammuddin.
Ia bermula dengan pemberian surat anugerah pada 2011 disusuli penyerahan kontrak kepada BNS pada 2014 untuk membina enam kapal LCS.
Semua kapal itu sepatutnya diserahkan tahun ini, tetapi sehingga kini bukan sahaja tidak diserahkan sebaliknya sebuah LCS pun belum lagi siap sedangkan RM6 bilion telah diberikan oleh kerajaan semata-mata untuk BNS melaksanakan projek itu.
Seperti 1MDB, projek kapal LCS ini turut berlaku ketika BN dan UMNO memerintah negara.