Ada gunting dalam lipatan? Soal Zahid setelah kerajaan tangguh RUU lompat parti

Kecewa kerana Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen (MP) daripada melompat parti tidak akan dibentang pada sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas kerajaan yang dilihatnya seolah-olah tidak serius dan tegas.

Beliau membangkitkan perkara itu susulan keputusan kerajaan pimpinan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menangguhkan pembentangan usul RUU itu sebagaimana disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tengku Jaafar.

“Dilaporkan dalam media bahawa kerajaan tidak akan meneruskan rancangan untuk membentang dan meluluskan RUU pindaan Perlembagaan yang bertujuan menghalang Ahli Parlimen daripada lompat parti.

“Dikatakan juga Kabinet hari ini memutuskan untuk membentangkan RUU bagi meminda beberapa bahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang akan membolehkan perundangan “antilompat” di masa akan datang.

“Dengan kata lain, perundangan “antilompat” akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan.

“Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?,” soalnya dalam kenyataan di Facebook beliau malam tadi. Mengikut Kamus Dewan, gunting dalam lipatan bermaksud membinasakan sahabat.

Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu berkata UMNO ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa apabila terdapat MP yang melompat parti setelah BN tewas.

Malah, katanya ada juga MP, walaupun masih di dalam BN ketika itu, bernada musuh politik UMNO dengan berharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan siapa MP terbabit tetapi dipercayai ditujukan kepada kelompok menteri UMNO yang kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Wan Junaidi mengesahkan Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan RUU itu yang sepatutnya dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Beliau berkata RUU itu sebaliknya akan dikembalikan untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.

“Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya Wan Junaidi.

Sehubungan itu, Zahid sekali lagi menggesa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Ismail Sabri dengan Pakatan Harapan (PH) wajar dinilai semula kerana kurang tegas dalam mempercepatkan pembentangan RUU itu.

“Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan ang sebenarnya bimbang tak mampu dan tak bersedia berdepan PRU jika Parlimen dibubarkan.

“Kini sudah tiba masanya UMNO dalam kerajaan lebih tegas menangani isu ini sebelum menambahkan lagi kemarahan yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR