Ada faktor lain pengaruhi punca kematian pesakit Long Covid: KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seramai 2,712 pesakit Long Covid telah dirujuk dalam tempoh empat hingga 12 minggu setelah dijangkiti virus itu ke Pusat Perkhidmatan Khusus Pemulihan Pesakit Luar Covid-19, sejak November 2020 hingga September 2021.

Daripada jumlah itu 984 atau 36.3 peratus kes Long Covid telah pulih sepenuhnya daripada gejala yang dialami; 1,715 (63.2 peratus) masih mengalami gejala berterusan; dan 13 kes (0.05 peratus) meninggal dunia.

“Namun semakan rekod perubatan mendapati terdapat faktor komorbid lain yang menyumbang kepada kes-kes kematian ini, iaitu melibatkan penyakit kanser yang telah merebak, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah serta jangkitan paru-paru,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Long Covid adalah keadaan di mana bekas pesakit masih menunjukkan tanda-tanda dan gejala-gejala selepas jangkitan Covid-19.

Ia melibatkan Ongoing Symptomatic Covid-19 iaitu tanda dan gejala selepas jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat minggu sehingga 12 minggu; dan Post Covid-19 Syndrome iaitu tanda dan gejala wujud pada ketika atau selepas jangkitan Covid-19 yang berterusan melepasi 12 minggu di mana ianya tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata analisis ke atas pengkalan data yang sama mendapati terdapat 2,324 pesakit telah menjalani penilaian melepasi 12 minggu selepas jangkitan Covid-19, dan 97.5 peratus daripada mereka merupakan pesakit yang pernah mengalami jangkitan serius Covid-19 iaitu kategori 4 dan 5.

Penilaian selepas 12 minggu ke atas 2,324 kes ini mendapat 914 atau 39.4 peratus kes pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami; 1,410 (60.6 peratus) kes masih mengalami gejala-gejala berterusan di mana kebanyakan mereka melaporkan lebih dari satu gejala.

“Lima gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan (71.8%), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9%), batuk (13.6%), kesakitan (13.2%), dan kesukaran tidur nyenyak (11%),” katanya.

Menurutnya lagi, analisis terhadap fungsi yang dialami oleh pesakit long Covid selepas 12 minggu jangkitan mendapati 61.1 peratus tidak mengalami kehilangan fungsi; mengalami kesukaran fungsi yang boleh diabaikan (25.6%); mengalami kesukaran fungsi yang ringan (8.9%); mengalami kesukaran fungsi yang ketara tetapi tidak memerlukan bantuan individu lain (3.7%); dan mengalami kesukaran fungsi yang sangat ketara sehingga memerlukan bantuan individu lain (0.7%).

Dr Noor Hisham berkata tanpa rawatan yang khusus, keadaan itu akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya.

Katanya secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan Covid-19.

“Selain itu, Long COVID juga boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, dan hilang sumber pendapatan. Bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit Long Covid, malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR