Ada apa dengan Omicron?

Omicron? Nama varian baharu Covid-19 ini menjadi perbualan hangat dalam media sosial.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakan varian baharu Covid-19 yang berasal dari Afrika Selatan sebagai ‘Omicron’, dan menetapkannya dalam kategori ‘varian membimbangkan’.

Pengumuman itu disusuli dengan keputusan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang merancang untuk menyekat perjalanan dari Afrika Selatan bagi mencegah penularannya.

Beberapa negara turut dilaporkan menyertai rancangan tersebut termasuk Britain, Perancis, Jepun dan Itali.

“Varian B.1.1.529 ini mempunyai sejumlah besar mutasi dan ada antaranya yang membimbangkan,’’ kata kumpulan penasihat teknikal WHO untuk Covid-19.

Sebenarnya, nama Omicron pernah menjadi tajuk dua filem dan kini mendapat tempat dalam senarai sohor kini Google.

Kedua-dua filem, filem Itali 1962 dengan nama yang sama dan The Visitor from Planet Omicron, 2013 sering menjadi kegemaran dalam kalangan penggemar konspirasi.

Diterajui Ugo Gregoretti, plot filem fiksyen sains 1963 bertajuk Omicron berkisar tentang ‘makhluk asing’ yang mengambil alih tubuh manusia untuk belajar mengenai Bumi supaya dapat ditawan.

Filem The Visitor from Planet Omicron pada 2013 juga berkisar mengenai ‘serangan’ makhluk asing.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, apabila terdapat banyak replikasi dan gandaan kes Covid-19, akan wujud lebih banyak ruang untuk ia bermutasi.

“Untuk menyekat varian baharu Covid-19 daripada terjadi, kita perlu mengurangkan jangkitan dalam masyarakat,” katanya melalui ciapan di Twitter baru-baru ini.

Sementara itu, Malaysia merekodkan kes pertama varian membimbangkan (VOC), Omicron, membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan pada Jumaat lalu.

Penemuan itu disahkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, sambil memaklumkan pelajar terbabit sudah diarah menjalani kuarantin diri.

Katanya, semua saringan kepada kontak rapat individu berkenaan juga sudah dijalankan dan keputusannya adalah negatif.

Pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 Nov lalu dan dikesan positif selepas menjalani ujian Rt-PCR di KLIA.

BERITA BERKAIT
POPULAR