Abang Acap tawar RM12,000

Abang kepada Mohammad Ashraf Hassan, peserta Gopeng Ultra Trail 2019, yang hilang sejak tiga tahun lalu menawarkan wang tunai RM12,000 kepada sesiapa yang berjaya menemui adiknya sebelum Syawal ini.

Menerusi laman Facebooknya Mohd Zahiruddin Hassan turut meluahkan bingkisan rasa selepas keluarga menempuh pelbagai dugaan dalam usaha mencari adiknya yang juga dikenali sebagai Acap yang hilang sejak 23 Mac 2019.

“Sesiapa yang berjaya menemui adik saya Acap sebelum raya, saya akan hadiahkan wang tunai sebanyak 12,000.

“Dalam tiga tahun ini banyak sungguh kisah yang keluar mengenai Acap.

“Ironinya masyarakat lebih gemar cerita buruk dari yang sahih. Ada yang kata dia lari, ada kata dia berkahwin bunian dan tak nak balik, ada pula yang kata ditangkap jin kerana mencuri batu, makan siput dan macam-macam lagi,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Mohd Zahiruddin tidak menafikan pelbagai spekulasi bertebaran sehingga kini kerana ada individu cuba meraih perhatian dalam mencari kandungan di media sosial.

“Semua ini berpunca dari ‘content’ nakal Youtuber dan ‘influencer’ yang ketandusan idea. Sengaja mengetengahkan isu-isu rekaan supaya video mereka naik dan mendapat imbalan dan hasil,” katanya.

Mohd Zahiruddin berkata, cerita rekaan lebih tersebar luas namun tidak memberi sebarang hasil dalam usaha pencarian sebaliknya mengundang kesedihan kepada keluarga.

“Sedarkah anda di sebalik imbalan hasil yang dapat itu, ada ibu yang sedang berduka. Ada keluarga yang sedang bersedih, ada anak kecil yang kehilangan ayah,” katanya lagi.

Menurutnya, menjelang keberkatan Ramadan, dia meminta kepada pihak berkenaan supaya berhenti mengambil kesempatan di atas kehilangan adiknya.

“Kitaran hidup kita ini pendek. Musibah boleh terjadi pada siapa saja. Jika tidak kepada diri sendiri mungkin boleh terkena pada anak isteri atau nasab keturunan. Semoga kita dilindungi Allah terhindar dari segala bencana,” katanya.

Pada 24 Mac 2019, Acap dilaporkan hilang apabila pihak penganjur dan rakannya yang membuat pencarian gagal menemukan selepas acara tamat pada 2 petang.

BERITA BERKAIT
POPULAR