
Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 27 Jun 2022. - Sumber Covidnow KKM
Lebih 62.23 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari tahun lalu, dalam usaha menyekat penularanan virus SARS-CoV-2 di negara ini.
Daripada jumlah itu, 99 peratus atau 23,292,728 individu dewasa termasuk rakyat asing telah menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 97.8 peratus (23,015,329 individu) telah menerima dos kedua.
Sejumlah 68.6 peratus atau 16,139,187 individu dewasa juga telah menerima suntikan dos penggalak.
Sementara itu, lebih 3.08 juta dos vaksin juga telah diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga di bawah 12 tahun menerusi PICKids yang bermula 3 Februari lalu hingga semalam.
Daripada jumlah itu, 1,745,690 atau 49.1 peratus kanak-kanak menerima dos pertama, dan 1,342,998 atau 37.8 peratus lagi melengkapkan suntikan dos kedua.
Selain itu, lebih 5.90 juta dos vaksin Covid-19 juga diberikan kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.
Sebanyak 96.3 peratus atau 2,997,965 daripada remaja itu menerima dos pertama, manakala 2,909,448 atau 93.5 peratus lagi menerima dos kedua. Belum ada remaja yang menerima suntikan dos penggalak.
Menurut rekod KKM, individu berusia 18 hingga 29 tahun kekal paling ramai dijangkiti Covid-19 apabila 4,113 kes membabitkan kumpulan umur itu dilaporkan dalam tempoh seminggu yang berakhir pada Ahad (26 Jun), meningkat daripada minggu sebelumnya sebanyak 3,731 kes.
Data laman sesawang CovidNOW KKM juga menunjukkan kumpulan umur 30 hingga 39 tahun berada di tempat kedua dengan 3,851 kes, diikuti 40 hingga 49 tahun (2,526 kes).
Keseluruhannya lebih 71.22 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia sejak tahun lalu, dengan 85.9 peratus menerima dos pertama dan 83.5 peratus lengkap dua dos.