99 kes baharu Delta, Omicron dikesan sejak 3 Januari, kata KP Kesihatan

Sebanyak 91 kes baharu Covid-19 varian Delta dan lapan jangkitan varian Omicron dilaporkan dalam tempoh 3 Januari hingga 10 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengenal pasti 48 kes baharu varian membimbangkan (VOC) yang terdiri daripada 44 kes varian Delta dan empat varian Omicron.

Katanya Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGI) pula mengenal pasti 47 kes baharu varian Delta, manakala Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti Universiti Malaysia Sarawak mengenal pasti tiga kes baharu Omicron, dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) mengesan satu varian Omicron.

“Lapan kes baharu varian Omicron yang dilaporkan terdiri daripada enam kes jangkitan import dengan lima kes jemaah umrah dari Arab Saudi dan satu kes pengembara dari Turki, serta dua kes jangkitan tempatan.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 5,760 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 5,740 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada keseluruhan VOC dan VOI, 5,240 kes adalah varian Delta; Omicron (253); Beta (233); Alpha (14 kes); Theta (VOI – 13 kes); Kappa (VOI – empat kes); dan Eta (VOI – tiga kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 272 lagi kes import yang positif Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 11,779 kes sejak awal 2020 lalu.

Daripada jumlah itu 224 melibatkan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara dan 48 kes lagi adalah warganegara asing. Semua kes telah diarah menjalani kuarantin, manakala kes teruk dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, seramai 2,977 pesakit Covid-19 di seluruh negara telah sembuh hari ini, menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,720,399 kes atau 97.4 peratus daripada 2,792,035 kumulatif kes positif.

Dr Noor Hisham berkata seramai 229 pesakit masih dirawat di unit rawatan dapi (ICU) dengan 99 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sembilan lagi kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,176 kluster dengan 5,998 telah ditamatkan dan 178 lagi masih aktif.

“Daripada 3,175 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 60 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 3,115 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Beliau juga memaklumkan lapan negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat nilai kebolehjangkitan melebihi Rt 1.00.

Labuan mencatat nilai Rt tertinggi iaitu 1.16, diikuti Kuala Lumpur (1.08); Sabah (1.06); Melaka (1.04); Putrajaya (1.03); Negeri Sembilan (1.01); dan masing-masing 1.00 bagi Kedah dan Selangor.

Negeri-negeri lain mencatat nilai Rt antara 0.85 dan 0.99.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR