
SPRM bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa dan agensi penguatkuasaan asing bagi mendapatkan semua dana 1Malaysia Development Berhad yang diseleweng.
Jumlah aset yang berjaya didapatkan kembali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dipulangkan kepada kerajaan adalah sebanyak RM5.1 bilion.
Daripada jumlah RM5.1 bilion yang dipulangkan kepada kerajaan Malaysia, 99.57 peratus adalah daripada syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, sebanyak 152 kes pelucutan harta dikendalikan di mahkamah yang mana sejumlah 121 kes permohonan selesai.
Beliau berkata, 117 kes atau 96.7 peratus memihak kepada pendakwa raya dan empat kes atau 2.2 peratus tidak memihak kepada pendakwa raya.
“Dari segi pemulihan aset, jumlah aset yang dilucut hak dan dipulangkan kepada kerajaan Malaysia tahun lalu adalah RM5.1 bilion yang mana 99.57 peratus adalah dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya dipetik laporan BH dalam ucapan semasa majlis Anugerah Media SPRM hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata berkata SPRM merekodkan kejayaan pada tahun ini apabila 91.1 peratus atau 266 kes salah laku rasuah tahun lalu berakhir dengan sabitan.
Kejayaan tersebut dianggap sebagai membanggakan bagi agensi pencegahan rasuah itu apabila hampir semua kes yang disiasat berjaya dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kejayaan siasatan SPRM boleh dilihat dalam kejayaan pendakwaan rasuah di mahkamah. Pada 2021, daripada 1,283 kes perbicaraan rasuah dikendalikan di Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia, sejumlah 292 kes selesai dibicarakan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 266 kes berakhir dengan sabitan atau 91.1 peratus… ini menunjukkan peratusan sabitan yang amat membanggakan,” katanya dalam ucapan, hari ini dipetik laporan BH.
Sementara itu, Azam menjelaskan SPRM tidak membuka kertas siasatan semata-mata berdasarkan maklumat seorang blogger atau pengguna media sosial terutama mereka yang disyaki mempunyai agenda politik tertentu.
Beliau berkata, pihaknya yakin siasatan SPRM tidak akan berjaya berdiri di atas landasan bukti yang teguh jika bersandarkan tuduhan atau dakwaan semata-mata.
“Nescaya ia (siasatan berdasarkan maklumat seorang blogger) akan dibuang sebelum ia mendapat izin untuk mendakwa oleh Pejabat Peguam Negara… ia tidak akan sampai ke ruang perbicaraan mahkamah sekalipun.
“Saya harap media faham dan tidak lagi melaporkan SPRM membuka kertas siasatan susulan dakwaan seorang blogger,” katanya.
Dalam pada itu Azam berkata, bagi mendekati masyarakat akar umbi, doa selepas khutbah Jumaat yang disertai dengan mesej antirasuah dilaksanakan di hampir seluruh negara.
“Selain itu, di peringkat sekolah SPRM menganjurkan program Wira Anti Rasuah (WAR) sejak 2014 yang mana sehingga kini ia membabitkan lebih 24,000 murid dan 4,100 guru di seluruh negara,” katanya.