
Secara keseluruhan sehingga semalam (11 Februari 2023) lebih 72.77 juta vaksin telah diberikan kepada rakyat Malaysia dan warga asing yang tinggal di negara ini. - Gambar Agenda Daily
Jumlah populasi dewasa di seluruh negara yang lengkap menerima suntikan sama ada vaksin Covid-19 dua dos atau vaksin dos tunggal meningkat kepada 22,930,943 individu atau 98.0 peratus, semalam.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan dalam tempoh itu juga seramai 23,206,202 atau 99.2 peratus lagi individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Menurut statistik laman sesawang Covidnow kendalian KKM yang dikemas kini pagi ini, seramai 12,473,139 atau 53.3 peratus individu dewasa lagi menerima suntikan dos penggalak.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin meminta orang ramai, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, mengambil suntikan penggalak bagi mengelak jangkitan lebih teruk susulan lonjakan penularan varian Omicron Covid-19.
Menurutnya warga emas berdepan risiko jangkitan teruk di mana sebanyak 18,362 atau 57.32 peratus daripada 32,034 kes kematian akibat wabak itu sehingga semalam, membabitkan golongan berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira satu juta atau 32 peratus warga emas dikenal pasti masih belum mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.
“KKM mengingatkan semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini,” katanya.
Sementara itu, seramai 2,792,265 atau 88.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,869,845 atau 91.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keseluruhannya lebih 64.1 juta dos vaksin telah diberikan kepada penduduk Malaysia, termasuk rakyat asing, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari 2021 lalu.
Daripada jumlah itu, 25,723,208 atau 78.8 peratus individu telah lengkap divaksinasi, dan 26,117,440 atau 80.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Pecahan pemberian vaksin mengikut negeri sehingga 7 Februari 2022. – Sumber Covidnow KKM