
Sehingga Jumaat, 4 Mac 2022 seramai 2,803,567 atau 90.1 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap menerima vaksin Covid-19.
Seramai 974,355 atau 27.4 peratus daripada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) dilancarkan 3 Februari 2022 lalu, hingga semalam.
Daripada jumlah itu, 21,460 kanak-kanak menerima suntikan dos berkenaan semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Kelantan dan Terengganu masih merekodkan jumlah kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 yang rendah iaitu tidak sampai 10 peratus, dengan masing-masing mencatat 7.8 peratus dan 9.2 peratus.
Sementara itu, seramai 14,943,712 atau 63.5 peratus individu dewasa telah menerima suntikan dos penggalak sejak Program Imunisasi Covid-19 Dos Penggalak (PICK-B) bermula secara rasmi pada 1 Oktober 2021 lalu.
Manakala sejak 24 Februari tahun lalu hingga semalam, seramai 22,953,291 atau 97.6 peratus populasi dewasa Malaysia telah lengkap divaksinasi, dan 23,232,845 atau 98.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Pada masa sama, sejak 8 September tahun lalu hingga semalam pula seramai 2,803,567 atau 90.1 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 2,900,616 atau 93.2 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Keseluruhannya sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari 2021 lalu hingga semalam, sebanyak 67,600,736 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk rakyat asing.
Daripada jumlah itu, seramai 25,756,858 atau 78.9 peratus populasi telah lengkap divaksinasi, manakala 27,107,816 atau 83.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.