97.9 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi

Seramai 22,927,434 atau 97.9 peratus populasi dewasa di seluruh negara, termasuk rakyat asing, telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sehingga semalam.

Manakala, 23,204,846 atau 99.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawangnya, Covidnow yang dikemas kini, pagi ini.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak dilancarkan pada 13 Oktober lalu hingga semalam, seramai 12,157,974 atau 51.9 peratus individu dewasa lagi telah menerima suntikan dos ketiga.

Sementara itu sejak 8 September lalu hingga semalam, seramai 5,658,250 remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

Daripada jumlah itu, 2,789,988 atau 88.6 peratus remaja telah lengkap divaksinasi, manakala 2,868,262 atau 91.1 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya, sebanyak 63,743,710 dos vaksin telah diberikan sejak PICK dilancarkan 24 Februari tahun lalu, dengan 78.7 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi, dan 79.8 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR