97.6 peratus populasi dewasa sudah divaksin

Lebih 50.65 juta dos vaksin telah diberikan kepada populasi Malaysia sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu 24,642,379 atau 75.5 peratus individu yang layak telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing sama ada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

“Sebanyak 78.3 peratus atau 25,550,899 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

“Jumlah penerima dos penggalak yang terdiri daripada warga emas dan petugas barisan hadapan juga meningkat kepada 644,664 individu,” kata KKM menerusi laman sesawang COVIDNOW, hari ini.

Semalam, sebanyak 116,642 dos telah diberikan membabitkan 30,700 penerima lengkap divaksinasi, 7,877 individu menerima dos pertama dan 78,065 yang lain menerima dos penggalak.

Sementara itu, 95.0 peratus atau 22,228,388 populasi dewasa melengkapkan suntikan vaksin masing-masing, manakala 97.6 peratus atau 22,828,481 individu lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Keseluruhannya 45,519,772 dos diberikan kepada golongan dewasa sejak 24 Februari lalu hingga semalam.

Sejak 20 September hingga semalam juga, seramai 2,413,991 atau 76.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksinasi, manakala 86.5 peratus atau 2,722,418 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sehingga semalam, sebanyak 5,136,409 dos diberikan kepada remaja.

BERITA BERKAIT
POPULAR