95.4 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi

Individu dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sehingga semalam kini mencecah 22,332,571 atau 95.4 peratus, lapor Kementerian Kesihatan hari ini.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 24 Februari lalu hingga semalam juga, seramai 22,882,504 atau 97.7 peratus lagi individu dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau vaksin dos tunggal.

KKM juga memaklumkan lebih 1.13 juta individu, terutama warga emas berusia 60 tahun dan ke atas serta petugas barisan hadapan telah menerima suntikan dos penggalak.

Sementara itu jumlah remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang lengkap divaksinasi juga meningkat kepada 81.0 peratus atau 2,549,437 penerima.

Seramai 2,743,176 lagi remaja atau 87.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos. Keseluruhannya hampir 5.30 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada remaja sehingga semalam.

Dari segi populasi keseluruhannya, sebanyak 51,455,404 dos telah diberikan, dengan 24,882,008 penerima atau 76.2 peratus telah melengkapkan suntikan dos masing-masing, manakala 25,625,680 atau 78.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR