91.4% dewasa, 20.2% remaja lengkap vaksinasi sehingga semalam

Sebanyak 91.4 peratus atau 21,399,802 individu dewasa dan 20.2 peratus atau 637,079 remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan vaksinasi masing-masing sehingga semalam, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Sementara 95.1 peratus atau 22,260,137 individu dewasa dan 77.5 peratus atau 2,439,727 remaja pula menerima sekurang-kurangnya dos pertama daripada vaksin dua dos atau dos tunggal.

Statistik yang dikemas kini dalam laman sesawang COVIDNOW juga menunjukkan sehingga semalam 15,585 penerima yang layak pula telah diberikan suntikan dos penggalak.

Menurut KKM, pemberian dos penggalak membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang sudah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Dos penggalak diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap, namun perlindungan itu menyusut dari semasa ke semasa.

Individu yang layak akan dimaklumkan melalui MySejahtera, manakala individu tanpa aplikasi itu bakal diberitahu melalui khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Sementara itu, secara keseluruhan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu hingga semalam, lebih 46.63 juta dos vaksin telah diberikan.

Daripada jumlah itu, 67.5 peratus atau 22,036,881 individu melengkapkan vaksinasi masing-masing, sementara 75.7 peratus atau 24,699,864 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 15,585 lagi menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR