91.2 peratus individu dewasa lengkap divaksin

Kadar vaksinasi populasi dewasa yang melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing di seluruh negara sehingga semalam meningkat kepada 91.2 peratus atau membabitkan 21,355,550 individu.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kemas kini dalam laman sesawang COVIDNOW pagi ini memaklumkan 95.0 peratus atau 22,247,174 lagi individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada vaksin dua dos atau dos tunggal.

Secara keseluruhan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu hingga semalam, hampir 43.5 juta dos vaksin diberikan kepada golongan itu dengan semalam sahaja sebanyak 64,590 individu lengkap divaksinasi, manakala 14,543 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi PICK Remaja pula, 17.5 peratus atau 551,972 remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksinasi, manakala 2,416,010 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Dalam tempoh 20 September hingga semalam sebanyak 2,967,982 dos diberikan kepada golongan itu dengan semalam sahaja 98,066 remaja lengkap divaksinasi, dan 25,948 remaja lagi menerima dos pertama daripada vaksin dua dos.

Secara keseluruhan, 67.1 peratus atau 21,907,522 individu yang layak telah melengkapkan suntikan masing-masing, sementara 75.5 peratus atau 24,663,184 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Semalam sahaja sebanyak 206,418 dos diberikan dengan 162,656 individu lengkap divaksinasi, dan 40,491 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

BERITA BERKAIT
POPULAR