
Data sehingga 23 Disember 2022.
Jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam (Jumaat, 23 Disember 2022) masih kekal tiga angka buat tujuh hari berturut-turut, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.
Pada masa sama, jumlah kes yang masih aktif serta pesakit yang menjalani kurantin di rumah serta yang menerima rawatan di hospital, juga menunjukkan penurunan.
Dalam tempoh semalam sebanyak 902 kes baharu dilaporkan, termasuk lima kes import, meningkat sedikit berbanding 858 yang dicatat pada Khamis, menurut data KKMNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,022,144 kes dengan 4,970,932 pesakit telah sembuh, termasuk 1,104 yang pulih semalam.
Dalam tempoh semalam juga sebanyak 651 kes melibatkan individu yang telah menerima vaksin dos penggalak; diikuti 148 kes individu lengkap divaksinasi; tiga kes (individu belum lengkap divaksinasi); dan 100 kes (individu tidak divaksinasi).
Rekod KKM juga menunjukkan sebanyak 14,382 kes masih aktif, turun berbanding 14,590 yang dicatat pada Khamis, manakala 13,562 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah (13,685 pada Khamis). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, seramai 776 pesakit menerima rawatan di hospital, turun berbanding 859 pada Khamis, dan 44 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (46 pada Khamis), dengan 31 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (23 pada Khamis).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 365 (1,543,490)
- Kuala Lumpur – 91 (465,880)
- Sabah – 29 (406,446)
- Johor – 23 (397,647)
- Sarawak – 76 (323,199)
- Kedah – 48 (317,784)
- Pulau Pinang – 53 (306,575)
- Kelantan – 16 (259,711)
- Perak – 42 (238,277)
- Negeri Sembilan – 39 (230,431)
- Pahang – 24 (182,235)
- Melaka – 46 (143,953)
- Terengganu – 10 (132,661)
- Putrajaya – 34 (32,014)
- Labuan – 4 (22,900)
- Perlis – 2 (18,941).
Sementara itu, enam pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk tiga kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID) dilaporkan.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 meningkat kepada 36,830 mangsa, termasuk 7,849 kes BID.
Tiga daripada kematian itu dilaporkan di Selangor, termasuk dua BID; dan masing-masing satu di Kedah (BID); Pulau Pinang; dan Putrajaya.