900 ribu orang sudah terima dos kedua, 1.5 juta terima dos pertama, kata Adham

Setakta semalam, suntikan vaksin dos kedua sudah disuntik kepada kira-kira 905,271 individu sementara 1,578,225 individu pula sudah menerima suntikan dos pertama, kata kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Jelasnya, keseluruhan individu yang sudah menjalani suntikan kali pertama dan kedua adalah 2,483,496 orang setakat semalam menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.Dr Adham berkata lima negeri yang lengkap menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 122,007 dos diikuti Sarawak (91,667), Kuala Lumpur (89,194), Johor (82,492) dan Perak (75,311).

Setakat semalam, 44.70 peratus atau 10,850,160 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi sebanyak 2,843,697 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

BERITA BERKAIT
POPULAR