90.7 peratus pesakit sembuh, 73 kematian

Data 2 Julai 2021

Sebanyak 90.7 peratus atau 6,278 pesakit dilaporkan sembuh dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan kumulatif kepada 694,538 kes, berbanding keseluruhan 765,949 jangkitan Covid-19 yang dilaporkan sejak Mac tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 66,084 kes masih aktif dengan 905 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), turun sedikit berbanding semalam sebanyak 917 kes.

“Daripada jumlah yang dirawat di ICU, 443 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau melaporkan dalam tempoh itu sebanyak 6,982 kes baharu, termasuk tiga kes import dilaporkan di seluruh negara. Sebanyak 6,979 membabitkan penularan tempatan yang melibatkan 5,265 rakyat tempatan.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan dalam tempoh berkenaan sebanyak 73 kematian membabitkan 64 warganegara dan sembilan bukan warganegara dilaporkan menjadikan kumulatif kepada 5,327 kes.

“Sebanyak 17 kluster baharu turut dikesan hari ini menjadikan 877 kluster masih aktif dan 2,005 kluster ditamatkan,” katanya.

Berdasarkan jumlah kluster baharu yang dikesan hari ini, jangkitan di tempat kerja merekodkan sembilan kluster, masing-masing tiga di Johor dan Selangor; dan masing-masing satu di Sarawak, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Dua kluster baharu komuniti pula dikesan di Kelantan dan masing-masing satu di Johor, Sarawak dan Sabah.

Selangor juga merekodkan dua kluster kumpulan berisiko tinggi, manakala satu dikesan di Johor.

POPULAR