9 lagi kluster pendidikan dikesan

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sembilan daripada 13 kluster yang dikesan di beberapa negeri semalam, melibatkan kategori pendidikan.

Menurut laman sesawang kendaliannya, Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi, tiga lagi kluster membabitkan tempat kerja dan satu komuniti iaitu Kluster Jalan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Selangor yang melibatkan 14 kes.

Sembilan kluster pendidikan itu melibatkan masing-masing dua di Kelantan serta Perak, dan satu di Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Kedah dan Pahang.

Di Kelantan, seramai 25 individu dijangkiti Covid-19 menerusi Kluster Jalan Klinik Tanah Merah, dan enam kes Kluster Sungai Mengkuang di Kuala Krai.

Di Perak, Kluster Jalan Tasek Gopeng, Kampar melibatkan tujuh kes, manakala Kluster Jalan Sri Cempaka di Kinta (10 kes).

Seramai 18 individu dikesan positif Covid-19 menerusi Kluster Jalan Sri Balung, Tawau, Sabah, manakala Kluster Jalan Sepri, Jelebu, Negeri Sembilan pula melibatkan 13 kes.

Di Johor, Kluster Jalan Cantik Lima, Johor Bahru melibatkan lapan kes positif, diikuti Kluster Dah Bunga Junjong yang menular di daerah Kulim dan Baling, Kedah membabitkan 40 kes.

Sebanyak 11 kes turut dikesan di Pekan, Pahang menerusi Kluster Pulau Serai Pekan, kata KKM hari ini.

Johor turut merekodkan tiga kluster tempat kerja iaitu di Johor Bahru, Kluang dan Kota Tinggi membabitkan 34 kes positif Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR