9 kluster baharu pendidikan

Sembilan daripada 15 kluster baharu yang direkodkan semalam melibatkan kluster berkaitan pendidikan yang dikesan di lima negeri, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Salah satu kluster pendidikan itu melibatkan dua negeri iaitu di Kedah dan Pulau Pinang, di mana Kluster Bandar Putra Bertam menular di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Barat Daya dan Kulim, membabitkan 24 kes positif Covid-19.

Pulau Pinang turut mencatat satu lagi kluster pendidikan iaitu Kluster Jalan Bukit Minyak Dua, Seberang Perai Tengah yang melibatkan 13 kes positif.

Sementara itu, empat kluster pendidikan dikesan di Selangor membabitkan 60 kes iaitu:

  • Kluster Batu Satu Sabak, Sabak Bernam – 9 kes;
  • Kluster Jalan Ikram, Sepang – 13 kes;
  • Kluster Jalan Tuntung Tiga, Petaling – 9 kes; dan
  • Kluster Kampung Sungai Salak, Gombak – 29 kes.

Di Perak pula ia melibatkan Kluster Jalan Sentosa Sungai Siput, Kuala Kangsar dengan lima kes positif; dan Kluster Gunung Genting, Kinta (tujuh kes).

Satu kluster pendidikan dilaporkan di Kelantan iaitu Kluster Jalan Pak Elong di Bachok, membabitkan lima kes.

Sementara itu, enam kluster lagi melibatkan masing-masing dua tempat kerja serta kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster komuniti dan pusat tahanan.

Semua enam kluster itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Pahang.

BERITA BERKAIT
POPULAR