
Dua belas pesakit Covid-19 meninggal dunia semalam, 10 Ogos 2022, dengan enam daripadanya melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan. - Gambar Telegram
Kadar kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam kekal rendah, walaupun jangkitan harian terus melonjak ke tahap tertinggi sejak September tahun lalu.
Semalam, sebanyak 17,134 kes positif dilaporkan di seluruh negara, meningkat dari sehari ke sehari sejak beberapa hari lalu susulan penularan varian Omicron, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Statistik laman sesawang Covidnow yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan hanya sembilan kematian direkodkan semalam, termasuk empat kes melibatkan pesakit meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau kes BID.
Jumlah itu menjadikan keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini sejak awal 2020 hingga semalam sebanyak 32,065, termasuk 6,473 kes BID.
Dua negeri, Perak dan Sabah masing-masing mencatat dua kes kematian diikuti, masing-masing satu di Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, dan Selangor.
Sejak awal 2020 hingga semalam, Sabah merekodkan 259,932 kumulatif kes positif, dengan seramai 242,283 pesakit telah sembuh, 2,841 kematian dan 14,808 kes aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 12,928 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 1,013 ditempatkan di PKRC; 839 dimasukkan ke hospital; dan 28 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 10 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara jumlah kematian di Perak juga meningkat kepada 1,452 kes, negeri itu turut mencatat 135,722 kumulatif positif dengan 131,711 pesakit telah sembuh.
Perak merekodkan 2,559 kes aktif, dengan 2,133 menjalani kuarantin di rumah; 77 ditempatkan di PKRC; 339 dimasukkan ke hospital; dan 10 dirawat di ICU, termasuk enam yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga semalam, negara merekodkan 2,956,332 kumulatif positif, dengan 2,829,752 pesakit telah sembuh, dan 94,515 kes masih aktif.
Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 83,906 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,405 ditempatkan di PKRC; 5,057 dimasukkan ke hospital; dan 147 pesakit dirawat di ICU, dengan 79 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sejak seminggu lalu, 27.7 peratus kes kematian melibatkan pesakit berusia 80 tahun dan ke atas, diikuti 21.5 peratus (60-69 tahun); 16.9 peratus (40-49 tahun); 15.4 peratus (50-59 tahun); 13.9 peratus (70-79 tahun); dan 4.6 peratus (30-39 tahun).