9 berita ringkas Parlimen hari ini

MOTAC sasar dua juta pelancong

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan dua juta pelancong ke Malaysia pada tahun ini dengan keuntungan melebihi RM6.8 bilion.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini susulan pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini yang diharapkan dapat merancakkan industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19, lapor Bernama.

“Untuk pelancong dalam negara pula, kita masih belum ada sasaran sebab tahun 2019, kita dapat RM103 bilion bagi pelancongan domestik. Jadi kita mengharapkan sekurang-kurangnya dalam 50 peratus keuntungan walaupun agak sukar untuk capai (keuntungan) macam 2019,” katanya menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ serta pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April depan.

Konflik Ukraine-Russia tak jejas kita

Konflik Rusia-Ukraine tidak memberi implikasi besar terhadap perolehan dan perancangan aset pertahanan negara mahupun kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memelihara keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihaknya sentiasa mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan perolehan aset-aset strategik sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu.

“Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan aset ATM sentiasa berada dalam keadaan baik, kementerian akan memperluaskan alternatif bagi mendapatkan bekalan alat ganti diperlukan daripada sumber negara-negara lain yang menggunakan teknologi dan pesawat sama seperti India,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan pendirian Malaysia mengenai sekatan terhadap Rusia adalah jelas iaitu tidak mengiktiraf sebarang sekatan secara unilateral, yang sebarang sekatan harus dibuat melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti ditegaskan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada 8 Mac lepas.

Jawatankuasa bantu tuaian kelapa sawit

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah membentuk satu jawatankuasa teknikal untuk mencari mekanisme pemesinan bagi membantu penuaian kelapa sawit untuk mengurangkan kebergantungan kepada buruh luar sebanyak 40 peratus.

Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata mekanisme tersebut dijangka dapat dilaksanakan dalam masa tiga hingga lima tahun.

“Sementara menunggu perkara tersebut diselesaikan, kita nak pastikan bahawa bekalan tenaga buruh yang datang ke negara kita akan dapat dibekalkan dengan cara konsisten.

“Kita juga harus mempertahankan kelapa sawit kita agar terus dapat memberikan hasil pendapatan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Kecoh bila MP pembangkang disuruh rehat

Persidangan Dewan Rakyat ditangguh lima minit hari ini berikutan kekecohan apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mempertikaikan jawapan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berhubung isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Keadaan kecoh itu menyebabkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun memutuskan untuk menangguhkan persidangan pada 12.50 tengah hari dan disambung semula selepas lima minit.

Isu yang mencetuskan kekecohan itu turut menyebabkan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) diarah keluar dewan untuk tempoh 10 minit.

Terdahulu, Halimah ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu berkata taklimat Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) yang dicadang pada 14 Jan ditangguh kepada 22 Mac ini.

Malaysia sumbang 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan

Malaysia akan menyumbang sebanyak 1.6 juta dos vaksin kepada Afghanistan dalam usaha membantu negara yang sedang bergolak itu, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar.

Bagaimanapun, Kamarudin berkata perkara itu masih lagi dalam proses rundingan dengan pihak penguasa di Afghanistan.

“Semalam, satu rombongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah berlepas yang membawa lebih kurang sebanyak US$50,000 dari segi tunai yang akan dibelanja atau diguna pakai untuk membeli barangan di Pakistan atau Afghanistan itu sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu nilai bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan setakat ini kepada rakyat Afghanistan dan bentuk bantuan yang akan diberikan dalam setahun yang akan datang.

Yakin pendapatan isu rumah cecah RM10,000 sebulan

Kerajaan yakin sasaran pendapatan isi rumah sebanyak RM10,000 sebulan menjelang 2025 dapat dicapai berikutan pelbagai strategi makro yang diperkenalkan untuk memulih dan memperkukuh asas ekonomi, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Eddin Syazlee Shith.

Menurutnya, antara strategi itu adalah usaha untuk meningkatkan produktiviti, menggalakkan pelaburan berkualiti, mempercepat peralihan struktur ekonomi, memanfaatkan penyertaan dalam rantaian nilai global, meningkatkan bahagian pampasan pekerja dan memastikan kemampanan fiskal dalam jangka panjang.

Katanya, kerajaan menyasarkan purata pendapatan isi rumah di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 pada 2025, iaitu peningkatan 7.3 peratus setahun.

“Sasaran yang ditetapkan ini adalah realistik berdasarkan kepada pencapaian peningkatan purata pendapatan isi rumah bagi tempoh 2009 hingga 2019 iaitu sebanyak 7.0 peratus setahun,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

NADMA distruktur semula

Badan pengurusan bencana di Filipina dan Indonesia antara yang akan dijadikan sebagai ‘benchmark’ atau penanda aras kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menstrukturkan semula agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid.

Beliau berkata ini memandangkan langkah pengukuhan pengurusan bencana negara wajar mengambil kira praktikaliti di negara lain, yang mempunyai mekanisme pengurusan bencana yang hampir sama.

“Ini termasuk karakteristik masyarakat pelbagai budaya dan agama, risiko bencana dan tahap kompetensi serta teknologi pengurusan bencana,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) berhubung perkara itu di Dewan Rakyat hari ini.

Merujuk perbandingan perjawatan National Disaster Management Office (NDMO) di negara-negara ASEAN, beliau berkata Badan Nasional Penanggulangan Bencana di Indonesia misalnya mempunyai 630 kakitangan, tidak termasuk 33 cawangan di provinsi dan 12 cawangan daerah.

Sasar 10,000 stesen pengecas EV

Kerajaan menyasarkan sebanyak 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong.

Menurutnya, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memainkan peranan penting dalam mewujudkan kerjasama swasta dalam memacu infrastruktur stesen pengecasan EV sedia ada dan baharu bagi mencapai sasaran ini.

“Pada masa ini, kita ada kira-kira 300 stesen di bawah kerjasama ini dan dianggarkan, jumlah keseluruhan pengecasan stesen sedia ada untuk pengguna adalah 600 stesen,” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai perancangan kementerian dalam usaha membangunkan industri EV tempatan memandangkan industri kenderaan elektrik semakin berkembang dan diterima di seluruh pasaran dunia.

SPR tak cadang perluas undi pos

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat masa ini tidak bercadang untuk memperluas kategori undi pos kepada pengundi Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sebaliknya, SPR menggalakkan pengundi untuk memohon pertukaran bahagian pilihan raya berdasarkan tempat pemastautin terkini bagi memudahkan urusan pengundian bagi satu pilihan raya.

“Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan menetapkan satu daripada kelayakan untuk didaftarkan sebagai pemilih ialah dengan bermastautin di mana-mana bahagian pilihan raya.

“Bagi maksud tersebut, SPR menentukan bahagian pilihan raya seseorang pemilih berdasarkan kepada alamat pemastautin pemilih sebagaimana yang ada di kad pengenalan dan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

BERITA BERKAIT
POPULAR