89 pesakit Covid-19 meninggal semalam, kes aktif turun kepada 5 angka

Seramai 89 pesakit Covid-19 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam pada Jumaat 15 Oktober 2021, naik satu kes berbanding 88 yang dicatatkan pada Khamis, lapor Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ini termasuk 19 pesakit yang meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital atau kes BID (brought in death).

Pada masa sama, Perak melepasi jumlah kematian tiga angka apabila 13 pesakit meninggal dunia semalam, sekali gus melonjakkan jumlah sejak awal tahun lalu sehingga semalam kepada 1,007 kes berbanding 994 kes sehingga Khamis.

Statistik COVIDNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan 15 pesakit Covid-19 meninggal dunia di Sarawak semalam, diikuti Kelantan (14); Perak (13); Pulau Pinang (sembilan); Pahang (lapan); Selangor (tujuh); Johor (enam); Sabah (lima); Kuala Lumpur (empat); masing-masing tiga di Perlis dan Kedah; dan Negeri Sembilan (dua).

Tiada kematian direkodkan di Melaka, Terengganu, Labuan dan Putrajaya.

Sejak awal tahun lalu sehingga semalam, sembilan negeri termasuk Perak merekodkan jumlah kematian empat angka.

Selangor kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi membabitkan 9,511 pesakit Covid-19, diikuti Johor (3,485); Kuala Lumpur (2,530); Sabah (2,389); Kedah (1,921); Pulau Pinang (1,511); Negeri Sembilan (1,211); dan Sarawak (1,075).

Sementara itu, sehingga semalam jumlah kes aktif turun kepada lima angka berbanding 101,587 kes yang dilaporkan pada Khamis. Semalam, kes aktif turun kepada 97,505 kes, dengan Sarawak merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 15,142 kes, manakala terendah ialah Labuan (30 kes aktif).

KKM memaklumkan daripada 97,505 kes aktif itu, 75,068 pesakit menjalani kuarantin di rumah; PKRC (14,537); Hospital (7,197) dan 703 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 366 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR