89.90 peratus pengundi awal selesai laksanakan tanggungjawab

Sebanyak 89.90 peratus atau 10,390 orang pengundi awal sudah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini bagi proses undi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), proses undi awal yang berlangsung terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis di Melaka.

Dalam satu kenyataan, SPR berpuas hati dengan jumlah kehadiran orang ramai yang keluar menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada PRN Melaka kali ini.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” kata Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, jumlah pengundi awal bagi PRN Melaka terdiri 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

BERITA BERKAIT
POPULAR