8,868 kes harian baharu tertinggi direkod, kumulatif lepasi 800,000

Negara hari ini merekodkan kes harian baharu positif Covid-19 yang tertinggi sejak pandemik melanda Mac tahun lalu apabila dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi 8,868 kes dikesan.

Jumlah itu mengangkat kumulatif keseluruhan kepada 808,658, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan di laman Twitternya hari ini.

Kali akhir negara mencatat kes tertinggi adalah pada 3 Jun lalu apabila merekodkan 8,209 jangkitan dalam tempoh 24 jam.

Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, sebelas negeri dan wilayah menunjukkan peningkatan mendadak kes baharu.

Dr Noor Hisham berkata Selangor terus mencatat kes tertinggi dengan 4,152 jangkitan berbanding 3,119 yang direkodkan semalam, manakala 1,133 kes baharu hari ini dikesan di Kuala Lumpur berbanding 1,005 semalam.

Sembilan negeri lain yang merekodkan peningkatan mendadak ialah Sabah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Johor, Putrajaya dan Terengganu.

BERITA BERKAIT
POPULAR