
Sejak penubuhan Perkeso pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji telah dilaksanakan sebanyak lima kali.
Seramai 8,843 majikan baharu tampil membuat pendaftaran sepanjang tempoh pemutihan selama sebulan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang berakhir pada 31 Mei lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ia merupakan peningkatan memberangsangkan iaitu lebih 14 peratus berbanding 7,709 majikan baharu yang mendaftar pada April 2022, lapor Bernama.
“Saya meminta semua majikan yang masih belum mendaftar agar tampil kerana kami masih menerima pendaftaran di pejabat Perkeso di seluruh negara dan tindakan tidak akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas Op Kesan di sekitar Sesyen 15, Shah Alam, semalam.
Terdahulu Mohammed Azman melancarkan Op Kesan Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
Beliau berkata berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa mengira had gaji, wajib mendaftar dengan agensi tersebut.
Katanya pihak majikan tidak sepatutnya melihat kewajipan itu sebagai bebanan kerana kadar caruman yang dikenakan hanya 1.75 peratus kepada majikan dan 0.5 peratus kepada pekerja.
“Jangan lihat ini sebagai satu bebanan, jika berlaku apa-apa kepada pekerja siapa yang hendak tanggung kehidupan dan keluarga mereka.
“Kalau ada caruman dengan Perkeso, insya-Allah dari segi perubatan, pemulihan, hilang upaya dan berlaku kematian, keluarga mereka akan terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat 11 pagi tadi sebanyak 1,258 majikan telah diperiksa di seluruh negara menerusi Op Kesan dan 220 kompaun telah dikeluarkan kerana tidak berdaftar dengan Perkeso.
Sementara itu di SEREMBAN Pengarah Perkeso Negeri Sembilan Fuad Alias berkata antara alasan diberikan majikan yang tidak mendaftarkan pekerja mereka dengan Perkeso kerana tidak tahu keperluan melakukannya.
Beliau berkata kebanyakan majikan yang belum berdaftar adalah peniaga baharu yang tidak mengetahui mengenai Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan akta lain berkaitan.
“Kebanyakan majikan yang tidak berdaftar ini memiliki perniagaan kecil dan menggaji pekerja kurang daripada dua orang. Terdapat juga peniaga baharu yang sedang dalam fasa ‘mencuba nasib’ dalam perniagaan dan tidak berani mencarum dengan Perkeso.
“Selain itu, ada yang menggaji pekerja asing tetapi tidak dapat menunjukkan bukti bahawa pekerja ini didaftarkan di bawah Perkeso ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas Op Kesan di premis perniagaan kecil di sekitar Seremban Jaya di sini hari ini.
Menurutnya terdapat juga alasan lain seperti pekerja tersebut merupakan ahli keluarga atau pasangan kepada pemilik premis dan tidak tahu perlu berdaftar dengan Perkeso.
Fuad berkata sehingga 31 Dis lepas, statistik menunjukkan 38,985 majikan di negeri ini aktif mendaftar di bawah Akta 4 dengan seramai 250,465 pekerja mendapat perlindungan Perkeso.
Dalam pada itu, menerusi Op Kesan katanya sebanyak 49 kompaun berjumlah RM45,000 dikeluarkan kepada majikan di premis sekitar Seremban Jaya atas kesalahan Akta 4 dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) kerana gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja.