86 kematian, termasuk 28 BID

Jumlah kematian akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam pada Khamis (3 Mac 2022) turun semula kepada 86 kes, berbanding 115 kes yang dicatat pada Rabu, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Kes kematian semalam termasuk 28 pesakit yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan atau kes BID.

Tidak maklumat diberikan sama ada 28 kes BID itu melibatkan 286,097 individu yang diarah menjalani kuarantin di rumah, namun Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam menyatakan kebanyakan kes BID tidak mengetahui mereka dijangkiti Covid-19.

Jumlah baharu itu menjadikan kumulatif kematian sejak awal 2020 lalu hingga semalam sebanyak 33,028 kes termasuk, 6,808 kes BID.

Berdasarkan data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi, Johor kekal mencatat jumlah kematian tertinggi tiga hari berturut-turut berbanding negeri-negeri lain.

Dalam tempoh 24 jam semalam, negeri itu merekodkan 20 kematian baharu, berbanding 25 kes pada Rabu dan 21 kes pada Selasa, menjadikan kumulatif sebanyak 4,126 kes – kedua tertinggi selepas Selangor yang mencatat 10,220 kes.

Menurut KKM juga sehingga semalam, Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac ini, merekodkan kumulatif positif sebanyak 325,555 kes, dengan 300,939 pesakit telah sembuh dan 20,490 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 19,190 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 198 ditempatkan di PKRC; 1,071 dimasukkan ke hospital; dan 31 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 20 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Rabu, seramai 3,058,672 atau 80.6 peratus populasi di Johor telah lengkap divaksinasi, 3,224,739 atau 85.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,945,421 atau 71.2 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Perak merekodkan 11 kes kematian semalam, diikuti Kedah (sembilan kes); masing-masing tujuh kes di Melaka serta Sabah; dan masing-masing enam di Pahang serta Kuala Lumpur.

Kelantan pula mencatat lima kes kematian semalam, diikuti masing-masing empat di Pulau Pinang dan Selangor; Putrajaya (tiga); Perlis (dua); dan masing-masing satu kes di Sarawak serta Terengganu.

Hanya Negeri Sembilan dan Labuan tidak merekodkan kes kematian akibat Covid-19 semalam.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 3 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR