8,436 pesakit sembuh, 134 kematian dalam 24 jam

Seramai 134 pesakit Covid-19, termasuk 15 bukan warganegara, dilaporkan meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Angka itu menjadikan keseluruhan kematian sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu kepada 7,574 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Semalam, negara mencatat rekod kematian tertinggi harian akibat Covid-19 sebanyak 199 kes. Manakala angka kedua tertinggi direkodkan pada 18 Julai lalu membabitkan 153 kematian.

Beliau berkata, dalam tempoh sama juga negara merekodkan kes sembuh tertinggi setakat ini membabitkan 8,436 pesakit menjadikan kumulatif kes sembuh kepada 815,293.

“Masih terdapat 142,051 kes aktif di seluruh negara dengan 938 pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan 459 kes yang memberlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau memaklumkan 13,034 jangkitan baharu dilaporkan dengan 13 kes adalah daripada pesakit Kategori 5 iaitu kritikal dan memerlukan bantuan alat pernafasan dan 72 kes Kategori 4 yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Sebanyak 124 kes lagi iaitu Kategori 3 (radang paru-paru); Kategori 2 bergejala ringan (5,646 kes); dan Kategori 1 tidak bergejala (7,179 kes.

“Ini adalah berdasarkan keadaan klinikal mereka semasa baharu didiagnosa COVID-19. Ada di antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan mereka sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.

“Secara keseluruhannya, hanya 1.6 peratus kes yang dilaporkan pada hari ini berada pada kategori 3 hingga 5 dan 98.4 peratus kes berada pada kategori 1 dan 2, iaitu pada mula didiagnosa,” katanya.

Pada masa sama Dr Noor Hisham berkata 32 lagi kluster baharu turut dikesan dalam tempoh itu menjadikan keseluruhannya 3,361 kluster dengan 2,415 telah ditamatkan.

Katanya daripada 32 kluster baharu itu, 21 kluster membabitkan jangkitan di tempat kerja, komuniti (tujuh), dan masing-masing dua kluster institusi pendidikan swasta serta kumpulan berisiko tinggi.

Empat kluster di tempat kerja masing-masing direkodkan di Selangor dan Kuala Lumpur; masing-masing tiga di Pulau Pinang; masing-masing dua di Melaka dan Pahang; dan satu kes masing-masing di Kedah, Sarawak dan Sabah.

Johor juga merekodkan tiga kluster komuniti dengan semuanya di Johor Bahru dan Kulai; serta masing-masing satu kes di Kelantan, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Selangor dan Kuala Lumpur turut mencatatkan masing-masing satu kluster institusi pendidikan swasta, manakala kluster kumpulan berisiko tinggi direkodkan di Kedah dan Kuala Lumpur.

Mengenai kadar kebolehjangkitan, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data terkini pada 21 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.09, dengan yang tertinggi adalah di Terengganu membabitkan nilai RT 1.31.

Negeri-negeri lain yang mencatatkan RT melebihi 1.0 adalah, Kedah (nilai RT 1.25), Sabah (nilai RT 1.21), Pulau Pinang (nilai RT 1.21), Johor (nilai RT 1.20), Pahang (nilai RT 1.19), Wilayah Persekutuan Putrajaya (nilai RT 1.18), Kelantan (nilai RT 1.18), Selangor (nilai RT 1.15), Perak (nilai RT 1.12), Negeri Sembilan (nilai RT 1.10), Melaka (nilai RT 1.10), dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (nilai RT 1.07).

Data 22 Julai 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR